MINGGU keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) akan menampilkan beberapa perlawanan sengit, termasuk aksi Arsenal bertemu Manchester United di Stadium Emirates, Ahad malam.

Berikut adalah jadual Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini.

Selepas West Ham United mengalahkan Luton Town 2-1 di Kenilworth Road, pada Jumaat, EPL akan mempunyai enam perlawanan yang akan berlangsung hari ini.

Manchester City akan menentang Fulham, Chelsea akan menjadi tuan rumah Nottingham Forest, dan Newcastle United akan bertandang ke Brighton & Hove Albion pada malam Sabtu.

Perlawanan besar akan berlaku pada Ahad malam, apabila Arsenal menjadi tuan rumah Manchester United. Manchester United baru sahaja membawa masuk dua pemain baharu, Sofyan Amrabat dan Sergio Reguilon.

Kedua-duanya dibawa masuk dari Fiorentina dan Tottenham Hotspur secara pinjaman selama satu musim. Perlawanan Arsenal dan MU bakal menjadi perlawanan pertama Reguilon.

“Reguilon sudah pun bersama kami dan dia sedang berlatih. Ya, dia boleh bermain menentang Arsenal,” kata jurulatih MU, Erik Ten Hag, yang terpaksa kehilangan Luke Shaw dan Tyrell Malacia akibat kecederaan.

Liverpool pula akan melayan Aston Villa di Anfield.

Dalam kedudukan EPL, West Ham berada di tangga teratas buat sementara waktu dengan kutipan 10 mata. Bagaimanapun, The Hammers hanya satu mata di hadapan Manchester City.