PERLUMBAAN memburu kejuaraan liga dengan Manchester City musim ini tidak akan menjejaskan hubungan persahabatan dengan Pep Guardiola.
Pengurus Arsenal Mikel Arteta berkata, hubungan lama yang terjalin tidak akan terjejas sama sekali meskipun kedua-duannya dianggap bermusuhan pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Arteta yang juga bekas pemain tengah, pernah menjadi pembantu jurulatih kepada Guardiola di City sekitar 2016-2019 sebelum Arsenal melantiknya sebagai pengurus selepas Unai Emeri meninggalkan kelab itu.
Skuad bimbingan Arteta kini memimpin liga dengan 50 mata selepas 19 perlawanan, lima mata di hadapan penghuni tangga kedua, City yang bermain lebih satu perlawanan.
Kedua-dua pasukan akan bertemu di Stadium Etihad awal pagi Sabtu ini pada aksi pusingan keempat Piala FA.
Menjawab soalan mengenai pertembungan dengan Guardiola dalam liga dan juga Piala FA, Arteta memberitahu: “Saya sentiasa fikir ia akan berlaku suatu hari nanti dan terjadi lagi musim ini.
“Jelas sekali ia tidak akan menggugat persahabatan, dia amat penting dalam hidup saya, begitu juga dalam pekerjaan.
“Kami berdua mahukan kemenangan dan akan pertahankan kelab kami sebaik mungkin. Itulah keutamaan kami.”
Arteta berjaya mengemudi Arsenal menjulang Piala FA 2019-2020 berkata, kemenangan awal pagi Sabtu nanti, akan memberikan momentum buat pasukannya meningkatkan keyakinan.
“Ya kemenangan Sabtu ini akan membawa kami ke pusingan seterusnya, bukan mereka,” tambah Arteta. – Reuters