MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh selesai bertemu pemain badminton nombor empat dunia, Lee Zii Jia berhubung penyenaraian nama pemain profesional itu ke dalam Road to Gold (RTG) .
Zii Jia antara 15 atlet tersenarai ke dalam program itu dan pertemuan itu diadakan dengan setiap atlet bagi mendapatkan persetujuan.
“Pagi ini, saya bertemu Lee Zii Jia bersama-sama dengan Penyelaras RTG Stuart Ramalingam. Ia adalah pertemuan yang positif.
“Lee Zii Jia menyokong inisiatif RTG dan bersyukur kerana dimasukkan ke dalam projek nasional ini.
“Lee Zii Jia memberitahu saya dia benar-benar mahukan pingat emas pertama di Paris 2024 untuk negara. Inilah yang saya ingin dengar daripada atlet kita, ia bermula dengan keinginan emas itu,” kata Hannah menerusi Facebook pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN : Malaysia tak boikot Sukan Olimpik Paris, Hannah mahu jumpa Zii Jia secara eksklusif
Menurutnya lagi, Penyelaras RTG akan membincangkan dengan lebih lanjut dengan ejen Lee Zii Jia mengenai butiran komitmennya terhadap RTG yang akan merangkumi koordinasi bimbingan dan sparring.
Antara atlet tersenarai dalam RTG adalah Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom Awang (Basikal Trek) dan Datuk Pandalela Rinong Pamg, Nor Dhabitah Sabri (Terjun) serta Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Pearly Tan-M.Thinaah (Badminton).