TINDAKAN jaguh wushu Selangor Mandy Cebelle Chen mempertaruhkan rutin baharu tiga minggu sebelum bermulanya Sukan Malaysia (SUKMA) membuahkan hasil apabila dia berjaya meraih dua pingat emas.
Atlet berusia 21 tahun itu yang mengungguli saingan taijijian dan taijiquan turut mengakui kejayaan meraih dua pingat emas itu penuh bermakna bagi dirinya yang telah bertungkus-lumus sejak awal karier dalam sukan wushu.
Dia juga menyifatkan ianya sebagai simbol kejayaan dan kekuatan dirinya yang membuat penampilan terakhir di temasya sukan dwitahunan itu.
“Tiga minggu lepas, saya memutuskan untuk mengubah 100 peratus rutin, saya jumpa muzik ini menerusi dalam talian dan edit serta membuat koreografi dari 0 hingga 100 peratus dengan bantuan jurulatih-jurulatih dalam kem kebangsaan dan Selangor.
“Menukar rutin tiga minggu sebelum SUKMA bukan kerja mudah. Ia memberi cabaran pada mental dan fizikal namun syukur saya mampu mengharunginya kerana saya percaya saya mahu mengakhiri SUKMA dengan impak besar. Untuk itu, saya perlu ubah rutin saya, tingkatkan kemahiran dan saya berpuas hati dengan persembahan,” katanya.
Mandy juga kelihatan beremosi apabila memperolehi emas kedua peribadinya dan kini akan menumpukan perhatian kepada acara Sukan Universiti Dunia di Singapura.
“Sejujurnya saya tidak mampu meluahkan dengan kata-kata, saya telah berusaha keras sejak hari pertama dan memandangkan ini adalah SUKMA terakhir saya, kedua-dua pingat emas ini amat bermakna.
“Kejayaan ini turut membantu dalam meningkatkan keyakinan dan memberikan motivasi kerana mengingatkan saya sejauh mana saya melangkah sejak mula menyertai SUKMA pada 2016,” katanya selepas majlis penyampaian pingat.
Mandy yang juga atlet pelapis kebangsaan mencatat kutipan mata tertinggi 9.606 dalam saingan final taijiquan wanita untuk mengatasi 18 pencabar lain sekali gus muncul atlet pertama yang memenangi dua emas pada temasya edisi kali ini.