PERUBAHAN besar boleh dijangka berlaku kepada barisan kejurulatihan dan pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang musim 2024-25 apabila kelab mengumumkan penstrukturan semula kewangan sehingga 40peratus bermula musim hadapan bagi memastikan ianya lebih berdaya tahan untuk masa depan.

Pengumuman yang dilakukan menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alistair Edwards di laman sosial rasmi kelab itu juga menyatakan beberapa transformasi akan dilakukan Harimau Selatan untuk memastikan usaha penjimatan ini dapat dilakukan.

“Setelah membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk projek bola sepak termasuk insfrastruktur bola sepak dalam tempoh enam hingga tujuh tahun yang lepas, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu membuat penstrukturan kewangan bagi memastikan ketahanan jangka panjang.

“Kelab telah memutuskan untuk mengurangkan perbelanjaan sebanyak 30-40 peratus untuk membolehkan proses tersebut. Kami tidak akan membelanjakan wang. Kami akan mengurangkan perbelanjaan kami.

“Harimau Selatan akan melakukan transformasi kelab yang akan menyaksikan beberapa perubahan membabitkan kakitangan menjelang musim 2024 dan 2025. Ini termasuk para pemain dan staf teknikal,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan ini menguatkan desas-desus yang mengatakan JDT akan meminjamkan banyak pemain mereka ke kelab lain yang dilihat dapat membantu mengurangkan perbelanjaan kelab sekali gus lebih berdaya tahan.

JDT telah berbelanja besar terutama dalam meningkatkan fasiliti bola sepak seiring dengan penglibatan kelab di kejohanan Liga Juara-Juara AFC yang dilihat membantu Harimau Selatan beraksi cemerlang dan membantu menaikkan ranking MA Malaysia di Asia.

Meskipun mengurangkan perbelanjaan, Harimau Selatan tetap akan mengadakan kempen pra musim di Sepanyol dan Portugal menjelang sepak mula Liga Malaysia yang dijadualkan pada April 2024.