LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) telah mengumumkan perubahan signifikan dalam landskap bola sepak negara dari segi penyusunan kalendar yang radikal mengikut Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi musim 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan bahawa MFL kini sedang dalam perbincangan intensif dengan kelab-kelab bola sepak tempatan tentang perubahan kalendar ini.
“Tujuan utama kami adalah untuk selarikan tempoh rehat antara musim dan memastikan pasukan kebangsaan, pasukan bawah umur dan pasukan yang bersaing dalam Piala AFC dapat bersedia sepenuhnya.
“Kami sedang melakukan kajian teliti untuk memastikan bahawa kalendar kami selari dengan keperluan iklim dan konteks tempatan yang berbeza,” ujarnya.
Stuart menambah bahawa transisi ini akan menyaksikan musim kalendar liga bola sepak tempatan menjadi selama dua tahun, bermula dari 2024 hingga 2025.
Keputusan akhir mengenai perubahan ini dijangka akan diumumkan dalam bulan Oktober setelah semua perbincangan dengan kelab-kelab dan pihak berkepentingan selesai.
Sementara itu, MFL telah melancarkan Jelajah Piala Malaysia 2023 sebagai usaha untuk membolehkan peminat bola sepak melihat secara dekat piala berprestij yang kaya dengan sejarahnya.
Jelajah ini akan melibatkan lima cawangan AEON BiG yang berlainan lokasi dan dijangka berlangsung hingga awal Disember 2023.
Perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 juga dijadualkan akan berlangsung pada 9 Disember sekali gus bakal menjadi satu acara tumpuan terbesar dalam kalendar bola sepak Malaysia.