DATUK Misbun Sidek tidak lagi bergelar Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan ditukarkan ke jawatan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja, berkuatkuasa minggu ini.
Ketua Pengarah Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM) Michelle Chai berkata, penukaran jawatan itu adalah sebahagian daripada program penstrukturan semula barisan kejurulatihan skuad remaja negara susulan prestasi mengecewakan Kejohanan Remaja Dunia BWF 2022 di Santander, Sepanyol, Oktober tahun lalu.
Khidmat pakar beregu, iaitu Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky juga ditagih di peringkat remaja, apabila diberi tugasan tambahan sebagai Pengarah Kejurulatihan Remaja.
“Datuk Misbun akan fokus di bahagian pemain perseorangan kerana itu kepakarannya. Beregu remaja pula akan dipantau Rexy, yang akan menganalisa dari atas sampai ke bawah, so that it’ll be seamless transition between junior to senior,” kata Michelle.
CEO itu mengakui skuad remaja negara gagal sepenuhnyba di Sepanyol tahun lalu dan memerlukan pendekatan berbeza.
Pada aksi di Santander, Sepanyol, tiada pemain negara layak ke suku akhir bagi acara individu kejohanan remaja dunia manakala acara berpasukan campuran pula menamatkan saingan di kedudukan kesembilan.
Ini merupakan kali kedua berturut-turut Malaysia pulang dengan tangan kosong selepas edisi 2019 di Kazan, Rusia.
Justeru, Michelle memberitahu, Misbun dan Rexy akan meneliti pengambilan beberapa jurulatih baharu bagi membantu mereka mengemudi skuad remaja, menggantikan jurulatih bawah 15 tahun lelaki kebangsaan, Hafiz Hashim dan ketua jurulatih beregu bawah 18 tahun Vountus Indra Mawan.
“As far as I know both Misbun and Rexy are in the process of talking and interviewing to some coaches. Harap boleh dapat (jurulatih baharu) secepat mungkin,” katanya.