PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Sri Subahan Kamal memaklumkan terdapat perubahan yang berlaku dalam tampuk badan induk KHM berkuatkuasa hari ini.
Antara perubahan yang dilakukan adalah dengan melantik Nishel Kumar Silvaraja menggantikan Nor Faraha Hashim bagi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Konfederasi Hoki Malaysia.
Seterusnya, pelantikan Mohd Sayuti Abdul Samat sebagai Pengerusi Kejurulatihan Konfederasi Hoki Malaysia turut dilakukan dengan pengiktirafan terhadap Sayuti yang juga merupakan bekas penjaga gol kebangsaan.
Selain itu, KHM turut melantik Ganesan Shanmugam yang sebelum ini merupakan Presiden Persatuan Hoki Selangor sebagai Ahli Badan Lembaga Eksekutif Konfederasi Hoki Malaysia.
“Saya hendak maklumkan saya telah buat keputusan dan sepakat untuk memilih saudara Nishel Kumar Silvaraja. Nishel Kumar memang pemain hoki negara. Dia adalah Masters of Sports Science. Sebelum ini dia adalah Head of ISN Commercial. Dia juga dipinjamkan ISN untuk menjadi Ketua Pegawai Eksekutif KHM.
“Paling penting, dia adalah individu yang tahu tentang hoki kerana telah main hampir 84 caps untuk negara. Dia juga telah bermain dalam beberapa kejohanan termasuk Piala Asia 99, Sukan SEA 2003. Jadi dia tahu selok belok hoki. Tetapi yang paling penting adalah untuk membantu saya dalam menjayakan Piala Dunia Remaja 2023 di Kuala Lumpur pada Disember ini.
“Kemudian, saya buat keputusan untuk memilih Presiden Persatuan Hoki Negeri Perak, Sayuti juga bekas atlet, tidak silap saya dua Olimpik dia main, untuk menjadi Pengerusi Kejurulatihan. Dia juga bekas penjaga gol kebangsaan.
“Saya juga melantik Presiden Hoki Selangor, Ganesan Shanmugam untuk menjadi Badan Lembaga Eksekutif. Jadi ada sedikit perubahan saya buat, CEO saya lantik baru, Sayuti saya pindahkan dia sebagai Pengerusi Kejurulatihan. Saya ambil alih sebagai pengerusi pembangunan hoki kebangsaan. Kemudian, saya lantik Ganesan Shanmugam untuk Badan Lembaga Eksekutif,” kata Subahan.
Terdahulu, Bengkel Perancangan Program NHDP 2023 telah diadakan di Casa 4, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil dengan menjemput semua pemimpin hoki duduk semeja berbincang tentang hala tuju sukan hoki negara bermula di peringkat akar umbi.
Tambah beliau, program menerusi kerjasama antara Konfederasi Hoki Malaysia, Majlis Sukan Negara dan Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan suntikan terbaik bagi mencungkil bakat muda yang hebat untuk diketengahkan mewakili skuad hoki kebangsaan apabila mereka dewasa kelak.
“Hari ini kita telah mengadakan satu program segar bagi tahun 2023 di mana kita menjemput semua pemimpin hoki di peringkat akar umbi khususnya dari negeri yang terlibat, pengerusi pembangunan negeri dan ketua jurulatih peringkat negeri untuk datang di mana kita beri taklimat tentang hala tuju kerja dan program NHDP yang sedang perjalanan di peringkat akar umbi.
“Kalau kita buat program, kita tidak dapat maklumbalas juga tidak guna. Kita mahu tahu apa yang betul apa yang salah. Saya nampak maklumbalas itu amat memberangsangkan.
“Paling penting ini adalah program yang akan berjalan berterusan di peringkat sekolah kerana harus diingat pemain-pemain adalah di peringkat sekolah, jurulatih juga di peringkat sekolah.
“Koordinasi MHC, MSN dan KPM sangat penting. Program ini bukan sahaja untuk memberi anak muda kita main hoki.
“Tetapi ia adalah di mana kita akan datang mencungkil bakat-bakat dan menerapkan mereka menjadi pemain untuk pasukan negara pada masa akan datang,” jelas beliau.