PRESIDEN Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardine berpuas hati pencapaian atlet pesilat negara yang memberikan komitmen dan kesungguhan sehingga memperolehi kejayaan di Sukan SEA Vietnam.
Kem silat kini memperoleh dua pingat emas menerusi Mohd Taqiyuddin Hamid-Sazzlan Yuga (pencak silat) dan Muhammad Khairi Adib Azhar (Kelas B Lelaki 50-55kg).
“Ucapan tahniah pada Adib. Baru dua kali bertanding di Sukan SEA dan dapat emas. Ini menunjukkan kita tak ketandusan pelapis.
“Kita akui agak terkesan apa yang berlaku kepada Al-Jufferi Jamari dan Ahmad Atif Irsyad Ahmad Zahidi tapi itu bukan alasan atlet lain tidak memberikan yang terbaik,” katanya kepada pemberita Hanoi, Vietnam.
Beliau juga ada perancangan khas untuk Al-Jufferi dan tidak akan melepaskan begitu sahaja atas segala keringat yang dicurahkan dalam bidang persilatan.
“InshaAllah saya akan rancang perjalanan lain untuk dia terus berada dalam dunia persilatan dan tak nak langkahnya terhenti disitu.
“Dia bukan lagi satu pesilat tapi adalah satu ikon kepada dunia persilatan dan itu tak boleh kita nafikan. Malaysia berjaya lahirkan Al-Jufferi sebagai ikon sukan silat,” ujarnya akan melihat laporan doktor sejauh mana kecederaan dialami pesilat asal Pahang itu.
Dimaklumkan, Al-Jufferi pada peringkat awal berlaku 11 koyakan yang terlampau banyak dan perlu menjalani pembedahan.
Tidak dipastikan adakah pemenang pingat emas empat kali temasya Sukan SEA akan beraksi di Kejohanan Silat Dunia 2022 yang dijadual berlangsung pada 21 hingga 29 Julai di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.