USAHA sudah digerakkan untuk melobi acara silat dimasukkan semula ke dalam senarai program Sukan Asia, selepas acara itu dikeluarkan dari Sukan Asia ke-19, di Hangzhou, China.
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, perkara terbabit sudah dibincangkan Kongres Silat Asia di Dubai, bulan lalu bagi memastikan sukan itu kembali dipertandingkan pada Temasya Aichi-Nagoya, di Jepun 2026.
“Kita sudah mulakan permohonan baharu untuk silat dimasukkan semula sebagai acara dipertandingkan di Sukan Asia, yang kali terakhir, ada di Sukan Asia Jakarta (2018) sebelum China (Hangzhou) mengeluarkannya.
“Perbincangan juga sedang dijalankan untuk meyakinkan Persatuan Pencak Silat Jepun (JPSA) dan beberapa pendekatan telah dilakukan Persekutuan Pencak Silat Asia (APSIF), telah dicapai pada mesyuarat Kongres di dubai,” kata Megat Zulkarnain.
Menurutnya, antara pendekatan digunakan APSIF termasuk menggunakan suara-suara negara anggota yang berada dalam Majlis Olimpik Asia (OCA) seperti India, China, Jepun selain negara Asia Tenggara lain.
Tambah beliau, ada petanda positif mula kelihatan terutamanya selepas OCA melihat sukan silat semakin berkembang dengan kewujudan kuasa baharu di Asia Tengah seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Iran dan Yaman yang berjaya membentuk pasukan silat yang kuat.
“Taburan perkembangan silat dalam kalangan negara Asia ini, menjadikan silat lebih kuat dan kita berharap silat dimasukkan ke dalam temasya sebenua akan datang,” katanya.
Pada Temasya Jakarta 2018, negara gagal membawa pulang sebarang pingat emas apabila hanya meraih empat perak dan empat gangsa.