STATUS negeri Melaka sebagai penganjur Kejuaraan Silat Dunia 2024, masih menjadi tanda tanya, biarpun Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) sudah mengumumkan bahawa negeri itu bersedia menjadi tuan rumah kali kedua beruturt-turut.

Malaysia pernah mencipta sejarah penganjuran terbaik bagi edisi tahun lalu di Melaka dan ia diakui sendiri oleh Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat), Prabowo Subianto dan Negeri Bersejarah itu turut berada dalam radar untuk kembali menjadi tuan rumah pada tahun ini.

Begitupun dengan pilihanraya presiden Indonesia sudah pun selesai selepas Prabowo mengesahkan kemenangan, Presiden Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, kejohanan mungkin mengikut jadual penganjuran iaitu di Jakarta pada penghujung tahun ini.

“Kita juga sedang menunggu kerana kita semua maklum bahawa presiden Persilat, Prabowo sudah diisytiharkan sebagai Presiden Republik Indonesia yang kelapan dan dalam mesyuarat Persilat baru-baru ini, kita juga sedang menunggu untuk mengesahkan Kejuaraan Silat Dunia.

“Saya percaya kemungkinan besar kerana pemilihan Presiden Republik Indonesia ini tidak perlu dibuat kali kedua, jadi maknanya kalau kali kedua itu, ia akan mengadakan pengundian semula dan rakyat yang di Malaysia kena undi semula pada bulan Jun,” kata Megat Zulkarnain.

Antara pesilat negara yang menyumbang tujuh pingat emas pada Kejohanan Pencak Silat ke-7 di Dubai, tahun lalu.

Namun kerana keputusan itu hanya disahkan hanya dengan satu pusingan, maka ada kemungkinan Kejuaraan Silat Dunia yang kita jadualkan pada tahun ini di Jakarta, Indonesia, akan diteruskan. Kita percaya Kejuaraan Silat Dunia, kalau kita masih ingat, apa yang disebut Prabowo sewaktu hadir pada perasmian dan penutup edisi lalu di Melaka, beliau menyatakan yang penganjuran di Melaka adalah yang terbaik dalam sejarah.

“Saya percaya dengan hari ini beliau sebagai Presiden Republik Indonesia yang baharu walaupun hanya berkuatkuasa pada Oktober nanti, beliau akan buat satu kejuaraan yang cukup tinggi dan diperingkat kita pula, kita akan bersedia apa juga keadaan sekali pun, pasukan akan buat persiapan dengan baik,” kata Megat Zulkarnain.

Dalam pada itu, Megat turut memaklumkan yang Pesaka sedang berusaha untuk membawa kembali silat dalam Sukan Asia selepas tidak dipertandingkan di Hangzhou, China tahun lalu dengan Malaysia bersedia untuk membantu Jepun yang bakal menjadi tuan rumah pada 2026 nanti, mempersiapkan pasukan mereka.