PERTEMBUNGAN berdepan Sabah FC di Alor Setar menjadi penantian ramai peminat bola sepak negara khususnya penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Jumaat.

Kedah yang mula mendapat tonik ketika membelasah Kelantan FC tetapi rentak kemenangan itu terbantut seketika apabila tewas tipis 2-3 di tangan Selangor FC tempoh hari.

Namun, pemilik kelab, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar percaya ia akan menjadi titik kebangkitan Sang Kenari mengakhiri pusingan pertama pertandingan Liga Super dan memulakan pusingan kedua nanti.

“Perlawanan menentang Sabah FC di Stadium Darul Aman sudah pasti menjadi penantian ramai peminat bola sepak negara.

“Persembahan Sang Kenari sewaktu menentang Selangor FC pada minggu lepas pasti menjadi tanda aras baru kepada Sang Kenari sebagai pasukan baru bagi musim 2023,” katanya.

Beliau juga menitipkan doa agar pasukan Sang Kenari dan juga peminat serta penyokong Kedah Darul Aman FC sentiasa mempunyai optimisma yang tinggi dan berterusan.

“Semua kejayaan di dunia terselit dalamnya ciri optimisma. Apa makna optimisma? Yakin dan mengharap bahawa kita boleh menjadi yang terbaik atau lebih baik.

“Kekalkan optimisma kita semua. Jom kita mai ramai-ramai memenuhi Stadium Darul Aman malam esok. Kekalkan optimisma kita. Jangan ‘kenduq’,” katanya.

Skuad bimbingan Nafuzi Zain itu kini mengutip 22 mata selepas hasil tujuh menang dan satu seri manakala Sabah berada di tangga keempat dengan 24 mata.