PENYERANG sensasi skuad hoki negara, Faizal Saari bangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh barisan pemain muda negara pada kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) kali ini.
Pemain yang berusia 33 tahun itu berkata barisan pemain muda masih lagi memerlukan masa untuk bertambah baik.
“Kita mempunyai kelompok pemain yang besar iaitu 30 orang pemain tersenarai dan setiap orang pemain akan diberikan peluang.
“Saya harap mereka akan memanfaatkan peluang itu dengan sebaik mungkin jika dipilih untuk bermain di Nations Cup di Poland nanti.
“Siapa yang terpilih oleh coach Sarjit nanti, berjuanglah untuk negara sebab nanti bila kita dah jatuh, siapa lagi kalau bukan pemain-pemain ini untuk bangkit semula,” katanya.
Sementara itu, pemain pertahanan hoki negara, Syed Syafiq pula berkata bahawa para pemain muda ini sudah mempunyai aspek permainan yang semakin meningkat naik.
“Kalau melihat kepada setiap perlawanan, mereka akan nampak pasukan Malaysia kali ini boleh tahan juga. Walaupun dibarisi pemain muda, tapi daripada aspek permainan, mereka nampak semakin bagus.
“la pengalaman yang amat bermakna kepada barisan pemain ini kerana mereka akan mula tahu corak permainan lawan di peringkat antarabangsa. Apabila sudah beraksi empat lima perlawanan, mereka sudah dapat menyesuaikan diri,” ujarnya lagi.
The Speedy Tigers akan ke Poland pada penghujung bulan ini untuk bermain dalam kejohanan Nations Cup. Pasukan negara diletakkan dalam kumpulan B bersama pasukan ranking ke-9 dunia, Perancis, Kanada dan naib juara PSAS 2024, Pakistan.