ATLET memanah negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi memberi pesanan ringkas buat para atlet muda yang ingin menjadikan bidang sukan sebagai karier utamanya, agar menyeimbangkan mod pelajaran dan sukan.

Bagi Ariana yang akan menggalas cabaran negara pada Sukan Olimpik Paris 2024, dirinya menganggap bahawa sukan bukanlah sesuatu perkara yang boleh diteruskan dalam jangka masa panjang.

Oleh itu, dua perkara penting iaitu pelajaran dan sukan perlu dijalankan seiring dan secara seimbang untuk menjamin masa hadapan yang lebih cerah.

“Dua-dua kena boleh (pelajaran dan sukan). Saya memang minat sukan dan memang ada masa saya akan malas belajar. Tetapi saya tahu, saya tetap kena ada ilmu itu.

“Saya meletakkan pemikiran supaya selepas saya jadi atlet, saya perlu ada sesuatu jaminan pekerjaan dan itu pastinya datang dari sumber pelajaran. Sebab sukan bukan untuk selamanya,” kata Ariana menerusi segmen Sembang Sukan bersama pihak Majlis Sukan Negara.

Ariana menegaskan bahawa sebagai atlet, pelajaran juga perlu menjadi yang utama.

Meskipun baru berusia 19 tahun, Ariana telah menetapkan harapan tinggi untuk melihat industri sukan memanah terus mendapat perhatian masyarakat dan berkembang mengikut peredaran semasa.

Sementara itu, Ariana yang akan membuat penampilan sulung dalam temasya berprestij Olimpik Paris turut mendedahkan bahawa selepas dirinya mengesahkan slot ke Paris, dengan automatik dia menerima perubahan dari segi latihannya.

Selepas mengesahkan slot ke Olimpik Paris, dia menerima perubahan dalam latihan fizikalnya untuk memastikan dia bersedia untuk temasya besar itu yang bermula pada 26 Julai hingga 11 Ogos 2024.

Ariana berjaya mengesahkan tiket ke Olimpik menerusi Kejohanan Benua Asia di Bangkok, Thailand 2023, dan kini menantikan peluang untuk mewakili negara dalam acara memanah di Sukan Olimpik Paris 2024.