Foto kredit: Instagram DLCW/ BAM

TERIMA kasih Datuk Lee Chong Wei atas peringatannya kepada pemain muda yang ghairah mengikut trend terkini lebih gemar menyibukkan diri dengan media sosial.

Aplikasi Tiktok dan Instagram serta Youtube sememang menjadi pilihan pemain ‘menjual’ diri mereka dengan menonjolkan aktiviti harian mahupun aksi-aksi lucu atau keanak-anakkan untuk mengumpul jumlah ‘like’ mahu pun pengikut yang tinggi.

Ada pemain yang sibuk merakam saat daripada mereka bangun tidur, bersarapan, berlatih dan kembali ke biliknya dan tidak kurang yang terikut-ikut melakukan pergerakan tarian. Malah ada yang membuat kenyataan keputusan mereka kepada media sosial terlebih dahulu!.

Daripada pemain profesional mahupun yang masih bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM), ramai yang mempunyai akaun media sosial masing-masing.

Bagi penulis, ia bukanlah satu kesalahan tetapi sebagai pemain berilah fokus kepada peningkatan permainan sendiri, bukannya jumlah pengikut.

Perlu diingat bukan semua netizen yang menjadi pengemar mereka. Malah ada kelompok yang suka melaga-lagakan dengan melakukan provokasi menerusi kenyataan-kenyataan negatif.

Pemain perlu sedar, prestasi mereka di gelanggang ada turun naiknya dan adakah mereka bersedia berdepan kecaman bertalu-talu yang mungkin terlalu pedas untuk ditelan atau juga kutukan berbentuk perkauman.

Contoh terbaik membabitkan pemain perseorangan wanita, S.Kisona yang dikecam hebat termasuk yang berbentuk perkauman berikutan kegagalannya sewaktu pusingan akhir Piala Uber di Denmark tahun lepas.

Bersediakah pemain dengan situasi seperti ini? Tepuk dada tanya selera.

Tidak dinafikan ada pemain yang sibuk bermain dengan telefon bimbit masing-masing sebaik tamat perlawanan atau latihan, untuk mengemaskini perkembangan masing-masing di media sosial, bukannya melakuan ‘warming down’.

Malah, sebelum ini ada juga seorang bekas jurulatih di BAM yang sibuk bermain telefon bimbitnya ketika sesi latihan sehingga hilang fokus untuk melatih anak-anak buahnya.

Pujian harus diberikan kepada Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky yang mengenakan larangan membawa telefon bimbit dalam sesi latihannya. Namun, apa yang berlaku  selepas itu, tiada siapa yang tahu.

Pokoknya, pemain sendirilah yang harus membuat keputusan sama ada mahu fokus kepada peningkatan permainan mereka atau sekadar mahu menjadi jagoan di media sosial.

Andai ada yang tidak berminat dengan nasihat Chong Wei, terserahlah kerana masing-masing sudah dewasa tapi bersedialah dengan implikasinya kalau kegagalan terus membayangi diri sendiri.