KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon mengakui karakter pasukan India kini lebih agresif selepas menjadikan ia sebagai satu faktor untuk Harimau Malaya lebih peka dengan rentak permainannya malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menurut Pan-gon, perlawanan menentang India yang kini berada dalam kedudukan ke-102 itu akan dijadikan sebagai satu peluang yang tidak boleh di sia-siakan buat anak buahnya.

Menurutnya, perlawanan Pestabola Merdeka akan menjadi satu tali ukur untuk skuad memberikan prestasi terbaik menjelang Aksi Kelayakan Piala Asia yang akan berlangsung di Qatar, Januari hadapan.

“Pemain-pemain kini berada pada tahap yang baik dan bersedia bagi perlawanan pertama Pestabola Merdeka dan mereka dilihat sangat yakin akan pertarungan yang bakal dihadapi esok.

“Namun begitu, salah seorang pemain iaitu Paulo Josue masih belum pulih daripada demam denggi dan pihak medikal Harimau Malaya sentiasa memberikan yang terbaik untuk merawat keadaannya,” ujarnya dalam sesi sidang media di Wisma FAM.

Sementara itu, pemain pertahanan kebangsaan iaitu Matthew Davies pula bersetuju dengan kenyataan ketua jurulatihnya akan kekuatan yang ada pada pasukan lawan namun dia yakin bahawa skuadnya mampu memberi tentangan yang baik dalam perlawanan esok.

“Corak permainan mereka agak sama dengan kita tapi pastinya perlawanan esok akan menjadi satu ganjaran terbaik buat penonton yang hadir memberi sokongan ke stadium.

“Kami juga sudah hampir setahun tidak bermain di SNBJ jadi ia memberi keterujaan buat pemain serta peminat-peminat bolasepak yang sudah lama tidak berkunjung ke sana.

“Dikesempatan ini saya juga ingin berterima kasih buat Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam inisiatif untuk menaik taraf keadaan rumput di stadium kebanggan Malaysia,” katanya.