PEMAIN pertahanan kebangsaan, Corbin Ong mengakui kesemua pemain sudah bersedia dan bersemangat untuk membawa pulang trofi Pestabola Merdeka 2023 di hadapan penyokong sendiri.

Malaysia bakal berhadapan Tajikistan dalam aksi final pada Selasa dan Corbin juga mahu penyokong beramai-ramai hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk memberikan sokongan padu buat Harimau Malaya.

“Semua pemain sudah pulih dan kami bersedia untuk menghadapi final pada Selasa dan kami jangkakan aksi yang sukar tetapi kami sudah bersedia dengan taktikal yang fleksibel.

“Tajikistan adalah lawan yang sukar kerana mereka pantas dan mempunyai kelebihan dari sudut fizikal. Kita pernah bermain dengan mereka di King’s Cup sebelum ini tetapi perlawanan kali ini berbeza dan apa yang penting seperti kebiasaan kami hanya fokus kepada diri kami sendiri.

“Para pemain sangat bersemangat dan kami akan berikan segalanya untuk memenangi piala ini di hadapan penyokong sendiri dan kami mahu lebih ramai penyokong hadir untuk memberikan sokongan dan menyaksikan kami menjulang piala,” katanya ketika sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM.

Corbin juga menyatakan dia gembira masih dipilih sebagai pilihan utama di posisi pertahanan kiri namun menganggap itu bukan alasan untuk dia berasa selesa kerana semakin ramai pemain berbakat boleh mengisi posisinya.

 

“Kami mempunyai banyak pemain pertahanan kiri dan saya gembira kerana masih menjadi pilihan utama namun bukan bermakna saya tidak dicabar dan mereka sentiasa mendorong saya untuk melakukan yang terbaik setiap kali saya bermain sama ada untuk kelab dan negara,” jelasnya.

Corbin Ong berjaya menjaringkan satu gol dalam kemenangan 4-2 keatas India pada Jumaat dan dia menganggap padang baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil itu sebagai baik tetapi masih memerlukan masa untuk matang.