KETUA jurulatih pasukan India, Igor Stimac memberi bayangan tentang objektif utamanya dalam perlawanan Pestabola Merdeka yang akan berlangsung esok di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menurutnya, keselamatan pemain-pemain amat penting dan mengharapkan mereka dapat mengelakkan diri dari mengalami sebarang kecederaan kerana skuadnya bakal menghadapi beberapa perlawanan penting pada bulan November depan. 

Jurulatih yang kini berusia 56 tahun turut mengakui bahawa perlawanan yang akan menentang Harimau Malaya pasti memberi satu situasi yang sengit kerana Malaysia mempunyai kekuatan dan semangat yang jitu dalam pasukan.

“Walaupun kami sedar akan prestasi cemerlang oleh Harimau Malaya, tetapi kami akan berusaha untuk memberikan yang terbaik buat penyokong-penyokong India.

“Kami juga tidak memberi sebarang tekanan kepada pemain kerana kami sendiri dapat melihat India boleh menguasai permainan setakat ini walaupun kami masih dalam fasa pembelajaran,” ujarnya dalam sidang media.

Sementara itu, pemain utama skuad India, Anwar Ali menyatakan bahawa perlawanan ini merupakan peluang yang baik untuk dia apatah lagi apabila pertama kali bermain di Malaysia.

Anwar juga bersetuju dengan adanya kerjasama daripada pemain lagenda India, Sunil Chettri akan menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil pada perlawanan menentang Harimau Malaya pada Jumaat.