BEKAS pembantu jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin melihat peluang skuad Harimau Malaya untuk muncul juara Kejohanan Pestabola Merdeka sangat cerah dihadapan penyokong sendiri.
Namun begitu dia juga telah mengenalpasti beberapa perkara yang perlu diperbaiki jika Harimau Malaya mahu memastikan trofi kejuaraan menjadi milik Malaysia untuk aksi final pada Selasa.
“Pasukan Malaysia perlu pastikan bahagian pertahanan lebih berhati-hati ketika berhadapan Tajikistan. Pemain pertahanan seperti Matt Davies dan Corbin Ong perlu lebih selektif ketika naik membantu serangan supaya tidak terlalu terdedah dan meninggalkan ruang di kiri dan kanan untuk dieksploitasi oleh pihak lawan.
“Kim Pan-gon pasti ada ramuan khas untuk menghadapi Tajikistan tetapi masalah bahagian pertahanan ni perlu diselesaikan dahulu dengan Noaa Laine dan Endrick juga perlu berada tidak jauh antara bahagian serangan dan pertahanan.
“Sistem menentang India mungkin akan digunakan sekali lagi dengan empat pemain serangan akan memberi tekanan pada pihak lawan tetapi kita juga perlu mengawal tempo permainan supaya pemain tidak cepat letih seperti yang kita boleh lihat dalam perlawanan sebelum ini.
“Jika masalah-masalah yang kecil ini dapat diselesaikan, pastinya piala ini akan jadi genggaman Malaysia,” katanya yang berkongsi kepada FLASH SUKAN.
Malaysia layak ke final Pestabola Merdeka selepas menewaskan India 4-2 dalam aksi separuh akhir pada Jumaat dan kini berpeluang menjulang kembali trofi kejohanan bersejarah ini selepas kali terakhir melakukannya pada 2013.