PEMAIN pertahanan negara Matthew Davies jelas sugul ketika ditemui selepas perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 yang menyaksikan Malaysia tewas 0-2 kepada Tajikistan sekali gus menghampakan lebih 36,000 penyokong yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil.
Matt yang memegang lilitan lengan kapten pada perlawanan menentang India sebelum itu turut mendedahkan apakah perkara yang dibincangkan bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin di bilik persalinan sejurus perlawanan tamat.
“Kami masih belum membuat ‘briefing‘ antara pemain dan jurulatih tetapi semua dapat lihat, ramai pemain kecewa dan kita juga ada bercakap dengan Presiden FAM tentang kekalahan ini. Dia faham dengan situasi ini kerana padanya, dalam bola sepak perkara ini boleh berlaku,” katanya.
Kedua-dua gol Tajikistan diperolehi hasil kesilapan pemain pertahanan namun Matt tidak mahu menuding jari kepada sesiapa pun kerana bola sepak adalah permainan berpasukan.
“Saya tidak mahu ‘point‘ kesilapan pada siapa-siapa sebab kita sebagai satu pasukan dan kita menang sama-sama, kita kalah juga sama-sama,” jelasnya.
Matt kini akan kembali menumpukan perhatian kepada tugasan di kelabnya, Johor Darul Ta’zim yang bakal berdepan jadual cukup padat dalam Piala Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC namun dia merasakan itu adalah lumrah dalam hidup seorang pemain bola sepak profesional.
Malaysia tidak berjaya menamatkan penantian 13 tahun tanpa sebarang kejuaraan selepas dihukum Tajikistan dengan kekalahan 0-2 dalam aksi final Pestabola Merdeka 2023 pada Selasa.