PEMAIN warisan, Nooa Laine tidak mahu menganggap misi wajib menang ke atas India sebagai tekanan tambahan sebaliknya bersemangat mahu beraksi buat pertama kali di hadapan penyokong sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Malaysia perlu menang ke atas India bagi memastikan layak ke final Pestabola Merdeka 2023 untuk mempunyai dua perlawanan dalam kalendar Fifa kali ini kerana penarikan diri Palestin dari kejohanan menyebabkan pasukan yang tewas hanya bermain satu perlawanan sahaja.
Nooa juga tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan transisi pasukan B-23 dan juga skuad senior malah dia gembira setiap kali dipanggil ke kem kebangsaan meskipun menempuh perjalanan jauh dari Finland.
“Untuk menang dengan India untuk memastikan kami bermain dua perlawanan ada sedikit tekanan tetapi kami yakin dapat mengatasinya dan bagi saya ini adalah normal dalam bola sepak.
“Saya rasakan semuanya baik sama ada di skuad B-23 mahupun skuad senior kerana ianya sentiasa baik untuk berada di Malaysia dan semakin hari saya rasa semakin baik di kem kali ini,” katanya ketika ditemui di sesi latihan rasmi skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Noaa juga gembira dengan persaingan yang dihadapi di posisinya dan menjadikannya sebagai motivasi untuk memberikan yang terbaik untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Sudah pasti kita mempunyai ramai pemain tengah berkualiti dan saya juga mempunyai kualiti itu. Jadi saya tidak bimbang, sebaliknya akan cuba bersaing secara sihat untuk mendapatkan tempat dalam skuad,” jelasnya.
Pemain kacukan Malaysia – Finland itu turut teruja untuk beraksi buat kali pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil namun mahu berhati-hati apabila berhadapan India yang mempunyai ranking lebih tinggi.
“Ya saya belum pernah bermain di SNBJ tapi saya pernah tonton aksi skuad negara pada Disember lalu dan suasana di stadium cukup menakjubkan jadi saya tak sabar nak bermain di sana nanti.
“India adalah pasukan yang baik dengan ranking yang lebih tinggi namun kami yakin dengan kemampuan kami tetapi masih perlu berhati-hati kerana mereka dibarisi pemain berpengalaman seperti Sunil Chettry yang mampu mengecewakan kita,” katanya.
Skuad negara akan membuka tirai kejohanan pada 13 Oktober ini menentang India dan jika menang akan menentang Tajikistan di perlawanan akhir pada 17 Oktober untuk memperbaiki ranking.