PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan skuad kebangsaan Palestin terpaksa menarik diri dari Kejohanan Pestabola Merdeka 2023 ekoran peperangan yang melanda negara itu yang menyebabkan sempadan ditutup dan menghalang mereka terbang ke Malaysia.
Namun begitu, FAM masih mengekalkan format kejohanan dengan kini pasukan Tajikistan akan mendapat ‘bye’ dan akan terus ke final pada 17 Oktober manakala aksi Malaysia dan India akan kekal dilangsungkan pada 13 Oktober jam 9 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Ini bermakna, hanya satu perlawanan akan berlangsung pada Jumaat, 13 Oktober dan satu perlawanan pada Selasa, 17 Oktober dengan tiada perlawanan penentuan tempat ketiga dilangsungkan.
Perkara ini diumumkan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundram dalam sidang media khas di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa yang turut dihadiri Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, Naib Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed dan Ketua Unit Media FAM, Christopher Raj.
Perubahan format tersebut adalah langkah terbaik yang telah dicapai pada mesyuarat khas di antara FAM selaku penganjur Pestabola Merdeka 2023 bersama pengurusan pasukan India dan Tajikistan, selepas mengambil kira kekangan masa berikutan penarikan diri pasukan Palestin.
Sementara itu, untuk bersikap adil kepada kira-kira 25,000 penyokong yang telah pun membeli tiket bagi menyaksikan kedua-dua Hari Perlawanan pada 13 dan 17 Oktober itu, FAM mengambil keputusan untuk mengekalkan harga tiket berkenaan (bagi semua kategori) biarpun kini membabitkan hanya satu perlawanan pada setiap Hari Perlawanan tersebut.
Isu luar jangka ini sememangnya tidak dapat dielakkan dan FAM masih dapat memastikan kejohanan ini dapat dilangsungkan pada kalendar Fifa kali ini sebagai persediaan buat skuad kebangsaan untuk menghadapi Piala Asia di Qatar pada Januari 2024.