SELURUH penyokong sejati Harimau Malaya bermula dari Perlis sampailah ke Sabah diseru supaya hadir memberi sokongan bersemangat pada aksi final Pestabola Merdeka 2023 menentang Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.

Ini kerana setakat jam 7 malam tadi, sebanyak 12,653 tiket telah terjual berbanding kapasiti 88,000 yang boleh memuatkan kehadiran orang ramai dan ianya satu jumlah yang agak membimbangkan.

Menurut Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid skuad kebangsaan bimbingan Kim Pan-gon amat memerlukan sokongan dan sorakan gemuruh daripada penyokong dalam usaha kembali bangkit memburu kemenangan sejak 10 tahun lepas yang disasarkan pada aksi di laman sendiri kali ini.

Malah, kehadiran penyokong yang penuh pastinya mengubah suasana dengan sorakan luar biasa bagi memastikan Malaysia dapat menjulang kejuaraan yang diidamkan.

“Ya, semua rakyat Malaysia harus turun membanjiri stadium di final Pestabola Merdeka dengan laungan suara semangat demi negara sebagai tonik berharga buat pemain untuk bersaing di Piala Asia nanti.

“Dengan prestasi mengalahkan India ranking yang agak baik dari Malaysia pastinya menjadi pembakar semangat untuk julang piala.

“Saya yakin dan percaya barisan pemain kali ini mampu menjulang dan menghadiahkan piala buat penyokong yang hadir nanti. Oleh itu marilah kita beramai-ramai meraikannya di stadium kebanggaan kita,” katanya.

Azim (kiri) tetap menyokong Harimau Malaya beroleh kemenangan di laman sendiri.

Sementara itu, Azim Ahmad dari Tunjang percaya rumah Harimau Malaya akan full house walaupun acara final diadakan pada hari Selasa.

“Memang berlangsung pada hari bekerja dan sibuk. Tapi saya rasa mereka tetap hadirkan diri terutama penyokong di Lembah Klang. Nak dapat lebih 50,000 penonton saya rasa boleh sangat.

“Bumi kita tanah terbilang. Ayuh pemain ke-12. Mari kita penuhkan
Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa ini. Lupakan perbezaan politik dalam 90 minit demi Malaysia tercinta. Tanah Tumpahnya Darahku.

“Ramalan saya, Malaysia akan menang 2-0,” ujarnya ketika dihubungi.