BEKAS penyerang kebangsaan, Safee Sali menyeru semua rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya pada final Pestabola Merdeka 2023 bertemu Tajikistan untuk kembali melihat Malaysia menjulang trofi kejuaraan.
Safee adalah watak penting ketika membantu Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki pada 2010 dengan aksi mantapnya bersama rakan-rakan sepasukan membawa pulang kejuaraan Asia Tenggara dengan membenam Indonesia 4-2 secara agregat.
Dia yang turut bersama-sama pemain skuad kebangsaan dalam majlis Barisan Legenda Kongsi Idea di Petaling Jaya pada Isnin memuat naik kata-kata semangat buat para penyokong di ruangan insta story peribadinya.
“Mereka berada dalam motivasi yang baik untuk perlawanan akhir malam ini. Kita harus beri keyakinan dan sorakan yang padu untuk pasukan kita. Ini sebenarnya adalah perlawanan persahabatan dalam kejohanan yang kita anjurkan.
“Kena ingat ini adalah sebahagian persiapan ke Piala Asia. ‘Yes results‘ penting untuk malam ini tetapi ‘main target‘ kita adalah Piala Asia.
“Kita harus bangga ada pemain-pemain yang sangat berbakat. Kita ada ramai pemain yang begini. Kecil tetapi pantas, bertenaga dan ada semangat juang yang tinggi. Mereka telah buktikan mereka mampu lakukan. Teruskan gaissss,” tulisnya sambil berswafoto dengan Faisal Halim, Darren Lok, Arif Aiman, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid.
Harimau Malaya bakal menamatkan kemarau 13 tahun kejuaraan jika berjaya menumpaskan Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini dan sokongan padu penyokong dituntut untuk membakar semangat para pemain untuk berjuang demi lencana di dada.