MESKIPUN meletakkan sasaran untuk menewaskan Filipina pada tugasan pertamanya sebagai pengendali baharu Harimau Malaya, namun Pau Marti Vicente tidak mahu terlalu memikirkan tentang tekanan sebaliknya mahu mempersiapkan pasukan dengan baik.
Pau Marti juga sedar dia mempunyai barisan pemain yang cukup baik untuk meneruskan rentak cemerlang dan menewaskan pasukan di tangga ke-147 dunia itu apabila bertemu dalam perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu.
“Saya tiada masa untuk memikirkan tentang tekanan kerana masa yang ada digunakan untuk mempersiapkan pasukan dan kita tidak dapat mengubah apa yang berlaku pada masa lalu jadi fokus kita pada masa hadapan.
“Saya cuba menjalankan tugas saya dengan baik untuk memastikan pasukan beraksi sebaik mungkin. Dalam bola sepak tidak mudah untuk melakar kemenangan tetapi saya cuba untuk memastikan aksi terbaik pemain.
“Persiapan pasukan sangat bagus dengan kesemua pemain berada dalam keadaan terbaik dan sedia untuk diturunkan dan kami berharap para penyokong akan hadir ke stadium untuk memberikan sokongan kepada kami,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.
Pau Marti yang mengambil alih tugas dari Kim Pan-gon juga berjanji akan memberikan satu persembahan yang baik kepada para penyokong meskipun sedar ramai yang memboikot kejohanan Pestabola Merdeka kali ini.
“Kami sudah bersedia dan para pemain tahu akan peranan mereka kerana semuanya adalah untuk para penyokong dan kami akan pastikan satu perlawanan yang berkualiti dan menarik untuk diberikan kepada para penyokong Harimau Malaya,” jelasnya.
Mengikut rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah ketika aksi Piala AFF di Singapura di mana Malaysia menang 2-0 dan kini akan kembali memperbaharui perseteruan di Pestabola Merdeka.