GELORA melanda skuad kebangsaan Filipina menjelang kejohanan Pestabola Merdeka 2024 selepas ketua jurulatih, Tom Saintfiet meletak jawatan berkuatkuasa serta merta.

Perletakan jawatan itu berlaku kerana Saintfiet menerima tawaran dari skuad kebangsaan Mali sekaligus meninggalkan The Azkals yang menghuni ranking ke-147 dunia itu meskipun baru memegang jawatan selama enam bulan.

Makluman itu dikongsikan oleh Pengarah Skuad Senior Kebangsaan Filipina, Freddy Gonzalez menerusi satu kenyataan rasmi, pada Khamis dan dia mengakui memang terdapat klausa perlepasan dalam kontrak antara kedua-dua pihak.

“Dari mesyuarat pertama kami dengan Tom, ianya sudah dibincangkan bahawa sekiranya dia menerima tawaran yang lebih baik, kami tidak akan menjadi penghalang kariernya.

“Tom datang ke Filipina untuk melaksanakan projek kami tetapi hatinya sentiasa berada di Afrika dan kami mengucapkan terima kasih kepadanya atas tugas yang telah dilaksanakan.

“Dengan Pestabola Merdeka dan Piala ASEAN semakin hampir, kami perlu segera mencari ketua jurulatih baharu dan kami yakin akan menemui calon yang selari dengan visi kami,” katanya.

Sebagai rekod, Tom merupakan ketua jurulatih skuad kebangsaan Gambia dari 2018 hingga 2024 sebelum berkhidmat di Filipina dan dia sempat mengendalikan empat perlawanan yang menyaksikan The Azkals tewas keempat-empat aksi.

Bagi saingan Pestabola Merdeka, Filipina akan memulakan kempennya dengan menentang tuan rumah, Malaysia bimbingan Pau Marti pada 4 September di Stadium Nasional Bukit Jalil.