KETUA jurulatih sementara Harimau Malaya, Pau Marti Vicente menegaskan bahawa pemainnya layak untuk memenangi Pestabola Merdeka 2024.
Ini selepas anak buah Pau Marti Vicente mempamerkan aksi yang lebih baik sebagai satu pasukan berbanding lawannya, Lubnan pada aksi akhir Pestabola Merdeka semalam.
Menurut pengendali dari Sepanyol itu, Malaysia berjaya menguasai sebahagian besar permainan menentang pasukan di ranking ke-116 dunia di sebalik berdepan cabaran dari segi fizikal.
Beliau menambah bahawa pertembungan malam tadi sebagai satu perlawanan yang sangat sukar.
“Semua pemain bekerja keras pada aksi final ini dan ini adalah hari yang baik untuk meraikan (kejayaan Pestabola Merdeka 2024).
“Kita bermula dengan positif pada babak pertama berdepan pasukan yang bertahan dengan baik dan ada kelebihan fizikal. Kita menguasai permainan dan kita bertuah dapat menyudahkan peluang yang kita ada.
“Kita bergelut untuk mengekalkan corak permainan sama pada babak kedua tetapi kita pun ada mencipta peluang menerusi transisi dilakukan. Jika kita dapat menyudahkannya dan menjaringkan satu atau dua gol lagi, ia akan jadi berbeza untuk kita,” katanya.
Dalam perlawanan semalam, Malaysia memecah badi 25 perlawanan tanpa kemenangan kepada negara-negara Arab selepas berjaya tumpaskan Lubnan 1-0 hasil jaringan Romel Morales pada minit ke-33.
Kali terakhir skuad negara muncul juara Pestabola Merdeka pada 2013 yang disertai skuad bawah 23 tahun dengan Malaysia menewaskan Myanmar 2-0 di pentas akhir.