HARIMAU Malaya akan kembali mengasah taringnya pada kempen Pestabola Merdeka yang dijangka akan bermula pada September atau Oktober tahun ini.

Setelah tewas dalam aksi akhir Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026 sebelum ini, Malaysia perlu terus bangkit dan usah mengulangi kesilapan sama dalam menghadapi satu lagi peluang iaitu ke pentas Kelayakan Piala Asia 2027 yang diadakan pada Mac 2025.

Pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ke-11, penggal 2021-2025 pada Khamis telah menetapkan penganjuran kempen Pestabola Merdeka 2024 pada September atau Oktober dengan empat buah pasukan akan bersaing bersama.

Datuk Noor Azman memberitahu mengenai Pestabola Merdeka ketika sesi sidang media di Wisma FAM.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman memberitahu bahawa status pasukan yang akan dipelawa untuk menyertai kejohanan masih dalam perbincangan, dan akan diumumkan ketika sudah mencapai kata sepakat bersama.

“Kita dalam persiapan untuk menganjurkan Pestabola Merdeka 2024, empat pasukan dijangka akan bertanding pada bulan September dan cadangannya kemungkinan ada sebuah perlawanan persahabatan selepas itu.

“Kita juga masih belum memutuskan mengenai pasukan yang akan menyertai kejohanan ini, kemungkinan minggu hadapan kita akan hantar pelawaan dan ikutkan, kita akan mengambil pasukan daripada Pot 1 atau Pot 2.

Satu Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM ke-11 telah berlangsung pada Khamis.

“Kita juga baru sahaja selesai perlawanan Kelayakan Piala Dunia, dan kita dah tahu siapa yang layak ke peringkat seterusnya dan siapa yang tidak layak. Maka daripada situ kita akan menilai dan hantar pelawaan ke Pestabola Merdeka dan aksi persahabatan nanti,” ujar Noor Azman dalam sesi sidang media selepas tamat Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ke-11.

Untuk rekod, Tajikistan tampil sebagai juara Pestabola Merdeka (2023), setelah menewaskan Harimau Malaya 2-0 pada aksi Final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Oktober lalu.