MELIHAT Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) penuh dengan penyokong setia Harimau Malaya, antara senario dinantikan penjaga gol, Syihan Hazmi, selepas terpilih memperkuat pasukan kebangsaan menghadapi saingan Pestabola Merdeka 2023.

Biarpun akan beraksi buat kali pertama dalam kejohanan di peringkat Asia tertua itu, Pestabola Merdeka bukanlah asing baginya yang sebelum ini pernah menonton di kaca TV.

“Penyokonglah yang saya tunggu-tunggukan dan yakin sambutannya pasti meriah, kerana pada penganjuran lalu, Pestabola Merdeka sentiasa mendapat sokongan padu penyokong,” kata Syihan.

Peminat tidak melepaskan peluang bertemu pemain Harimau Malaya.

Katanya, semua pemain sudah bersedia menghadapi saingan, “Setiap kejohanan berbeza, tetapi yang penting kita gunakan perlawanan-perlawanan ini sebagai pengajaran untuk memperbetul kelemahan dan kekurangan.”

Pada Pelancaran Pestabola Merdeka 2023 di AEON Big Wangsa Maju semalam, lebih 100 peminat hadir tidak melepaskan peluang bertemu pemain Harimau Malaya. 

Selain Syihan, pemain lain yang hadir, Faisal Halim, Dion Cools, Matthew Davies, Arif Aiman, Corbin Ong, Brendan Gan, Sharul Nazeem, Darren Lok dan Dominic Tan.

Selepas kira-kira sedekad tidak dianjurkan, kemeriahan Pestabola Merdeka tetap dirasai.

Datuk Zainal Abidin Hassan mahu Pestabola Merdeka dianjurkan secara konsisten, kerana ia memberi peluang kepada pemain untuk mendapat lawan berkualiti.

Bagi pemain legenda seperti Datuk Zainal Abidin Hassan, penganjuran semula selepas edisi 2013, satu perkembangan yang baik dan memanfaatkan Harimau Malaya.

“Tidak dinafikan, kehebatan pemain-pemain dahulu kerana adanya kejohanan seperti Pestabola Merdeka dan Kings Cup Thailand serta lain-lain.

“Kejohanan-kejohanan ini banyak meningkatkan mutu permainan pemain, jadi dengan kembalinya saingan Pestabola Merdeka ini, mengingatkan kembali kebanggaan Piala Merdeka itu di rantau Asia,” kata Zainal Abidin yang mula beraksi dalam Liga Malaysia pada 1980 dan mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya di Pestabola Merdeka edisi ke-24 (1980).

Antara cenderamata kenangan sempena Pestabola Merdeka 2023.

Jam Harimau Malaya, antara cenderamata kenangan sempena Pestabola Merdeka 2023.

Kejohanan yang mula dianjurkan pada 1957 itu menerima penyertaan lapan pasukan pada tahun 1980, apabila disertai lapan pasukan, Maghribi, Korea Selatan, Thailand, New Zealand, Burma, Indonesia, Kuwait dan Malaysia yang menyaksikan skuad negara dibarisi bintang seperti Mokhtar Dahari, (Datuk) Soh Chin Aun, (Datuk) Santokh Singh dan Bakri Ibni.

Namun antara edisi paling diingati Zainal Abidin adalah pada tahun 1986, ketika Malaysia muncul juara dengan menewaskan pilihan Chechoslovakia 3-0 di final.

Zainal menjaringkan gol hampir pada setiap perlawanan.

Pestabola Merdeka 2023 membabitkan saingan empat penjuru antara Malaysia di ranking ke-136 dunia, Palestin (96), india (99) dan Tajikistan (110).