PELUMBA muda anak jati Terengganu yang kian meningkat naik, Mohd Harith Farhan Baharin menjanjikan aksi terbaik buat peminat di laman sendiri untuk kejuaraan Pusingan Ke-4 perlumbaan Petronas CubPrix yang akan bermula pada Sabtu ini.

Walaupun merupakan penampilan pertama kali bersama pasukan Tobaki Pink Racing Team untuk cabaran kategori CP125 pada musim ini, komunikasi yang baik bersama rakan sepasukan Saiful Azhary Mohamad menjadi percaturan terbaik untuk terus mengutip mata buat pasukan.

Faktor cuaca yang tidak menentu ketika ini dengan berbekalkan pengalaman bersama beberapa pasukan terdahulu Mohd Harith Farhan Baharin optimis untuk menghadiahkan podium di Litar Gong Badak, Kuala Nerus di hadapan peminatnya tersendiri.

“Saya memang dari awal tahun telah membuat persiapan dari segi fizikal dan mental untuk menghadiahkan podium di Litar Gong Badak ini khas untuk peminat di laman sendiri.

“Pengalaman saya terdahulu untuk beraksi di sini memberi kelebihan untuk saya. Cabaran di Litar Gong Badak ini tidak sama seperti di lain-lain litar Cub Prix di mana sememangnya perlu mengutip pengalaman di sini untuk penguasaan.

“Cuaca tidak menjadi masalah buat saya, memang kelebihan saya untuk berlumba di dalam hujan sebenarnya. Saya sememangnya sukan berlumba dalam hujan sebenarnya. Jadi untuk saya, cuaca panas atau hujan tidak menjadi halangan untuk saya,” ujar Mohd Harith Farhan yang ditemui FLASH SUKAN di Kuala Terengganu.

Mohd Harith Farhan yang ditemui sewaktu majlis beramah mesra bersama media di Kuala Terengganu turut mengumumkan fokus seterusnya adalah perlumbaan di Jepun bagi kejuaraan Asia Road Race Championship (ARRC) pada Ogos nanti.