PELUMBA kategori CP150, Shahrol Syazras Shahrol Yuzy tampil dengan prestasi hebat dan memberikan kemenangan pertama untuk pasukan Honda Yuzy Estremo Team dengan kepantasan 14’33:768 saat di Litar Sepang Antarabangsa yang berakhir pada Ahad.
Kejuaraan Petronas Malaysian Cub Prix pusingan satu itu turut menyaksikan persembahan hebat daripada pelumba-pelumba lain yang bersaing.
Md Akid Aziz dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing bermula di petak grid pertama, manakala juara musim lepas yang juga rakan sepasukannya, Ahmad Afif Amran mengambil tempat di petak grid kedua sementara Shahrol Syazras bermula dari petak grid ketiga.
“Pada lap terakhir tadi, saya nampak kebanyakan pelumba mengurangkan kelajuan. Pada pendapat saya, mereka mungkin mencari masa yang bagus untuk mengorak langkah.
“Bagi saya, ia merupakan suatu peluang, jadi saya pun mengambil kesempatan untuk meningkatkan kelajuan. Saya berasa amat gembira kerana berjaya kali ini,” kata Shahrol Syazras.
Tempat kedua jatuh ke tangan Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing dengan catatan masa 14’34:025s. Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Estremo Team mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 14’34:027s.]
Sementara itu, Amirun Haziq Johan dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha -31 Racing menyambar kemenangan pertama menerusi catatan masa 10’16:519s bagi kategori Wira KBS.
Rakan sepasukan Amirun, Raiyan Khardanee M Sanusi mengambil tempat kedua dengan catatan masa 10’16:760s. Di tempat ketiga adalah Md Farish Iqmal Khayrul Elyas dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing dengan catatan masa 10’16:899s.