FOTO : SEPANG CIRCUT

LITAR Antarabangsa Petronas (Petronas SIC) hari ini mengumumkan kerjasama baharu dengan Hankook sebagai rakan kongsi Tayar Rasmi untuk Malaysia Championship Series (MCS) dan Sepang 1000km (S1K) untuk tempoh tiga tahun bermula dari tahun 2024 sehingga 2026.

Tujuan utama kerjasama itu untuk meningkatkan lagi taraf acara kejohanan sukan permotoran negara serta mewakili objektif bersama antara Petronas SIC dan Hankook pada komitmen untuk berkembang dan menyediakan pengalaman perlumbaan dengan ketahanan yang unggul.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Petronas Sepang, Azhan Shafriman Hanif berkata, beliau gembira dapat memulakan kerjasama baharu ini dengan Hankook.

May be an image of 3 people and text

Azhan ditemubual media tempatan.

“Kami telah melihat peningkatan minat dan penyertaan dalam kejohanan-kejohanan ini.

“Perkongsian ini menandakan usaha berterusan kami dalam membantu peserta meningkatkan prestasi mereka di trek perlumbaan dan ini akan membuka lebih banyak pintu kepada jenama lain sukan permotoran untuk menyertai kami sekali.

“Dengan kekayaan pengalaman Hankook dalam pelbagai bentuk sukan permotoran, saya menantikan musim 2024 yang menarik,” katanya.

May be an image of 2 people and text

Hongsik Jeon (kiri) berkongsi pandangan mengenai kerjasama dengan Petronas SIC.

Sementara itu, Pengarah Urusan Hankook Motorsports, Hongsik Jeon sangat teruja untuk kembali menjadi rakan kongsi Tayar Rasmi kepada MCS dan S1K.

“Kejohanan-kejohanan ini sangat penting dalam kalendar sukan permotoran tahunan untuk Malaysia dan seluruh rantau.

“Setelah bekerja dengan Petronas SIC dalam banyak projek selama lebih sedekad, kami telah menyaksikan pelbagai pencapaian oleh litar dan penganjur.

“Kami yakin bahawa MCS dan S1K akan terus berkembang sebagai platform penting untuk industri sukan permotoran, dan kini positif bahawa Hankook akan menjadi tonggak penting dalam kejayaan itu,” ujarnya lagi dalam kenyataan media.

May be an image of 11 people and text

Petronas SIC dan Hankook bekerjasama sebagai rakan kongsi tayar rasmi untuk Malaysia Championship Series (MCS) dan Sepang 1000km (S1K) untuk tempoh tiga tahun.

Diiktiraf sebagai kejohanan permotoran kebangsaan yang paling berjaya, kejohanan tersebut telah menjadi platform yang berdaya maju dan mampan untuk mengeluarkan bakat muda untuk memajukan kerjaya mereka ke peringkat siri kejohanan yang lebih tinggi.

MCS akan kembali ke Sepang dengan pembukaan musim, Pusingan 1 dijadualkan pada 3 hingga 5 Mei, manakala S1K akan kembali ke Sepang pada 22 hingga 24 November.