BIARPUN  sebelum ini sering bergelut dengan masalah kecederaan, namun penyerang kelahiran Namibia, Petrus Shitembi sedia menggalas tugas yang diletakkan jurulatihnya, Nafuzi Zain untuk mengemudi posisi serangan pasukan Terengganu FC.

Jelas Shitembi, pasukan Terengganu memerlukan gol awal dalam perlawanan  separuh akhir kedua berdepan Selangor FC esok (Isnin) bagi terus meniup semangat perjuangan pasukannya.

“Saya rasa kita perlukan satu gol, ia akan menaikkan semangat kita untuk menjadikan perlawanan lebih menarik.

“Paling penting adalah teruskan permainan kita. Jurulatih telah menunjukkan taktik yang sepatutnya bagi kita,” ujarnya kepada media semasa sesi latihan di padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Dalam pada itu, penyerang berusia 30 tahun itu mengakui Sang Penyu memiliki pemain berkualiti serta mampu mendatangkan bahaya kepada Gergasi Merah.

The Turtles akan turun dengan corak permainan menyerang dan mentaliti yang positif serta mengharapkan faktor nasib sedikit menyebelahi pasukan Terengganu FC.

Artikel berkaitan : Magis Shitembi bantu TFC lupakan kekecewaan, Zainal tak gembira

“Kita ada pemain yang baik dan berkemampuan. Kita telah tunjukkan di liga dan Piala FA.

” Esok tiada bezanya, kita akan turun dengan mentaliti yang sama sambil mengharapkan sedikit nasib menyebelahi kami untuk menang esok, ” katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui Selangor FC kini bukanlah calang-calang pasukan sejak dibimbing jurulatih baharu, Tan Cheng Hoe yang berjaya mengekalkan rekod 9 perlawanan berturut-tutut tanpa kalah.

Namun, rekod cemerlang di laman sendiri ditagih Shitembi bagi memastikan kemenangan buat Turtles dalam aksi yang dijangka hangat di Stadium Mizan Zainal Abidin esok.

“Saya sedar ia satu tugas sukar lebih-lebih lagi dengan kehadiran jurulatih baharu, Selangor sekarang sangatlah kuat. Mereka menang perlawanan demi perlawanan.

“Bermain di tempat sendiri, kita akan cuba setelah ketinggalan 3-1. Kita harapkan kita dapat mengekalkan permainan terbaik dalam perlawanan esok,” jelasnya.