PERSATUAN Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menggesa mana-mana pemain atau pihak yang mengalami masalah tunggakan gaji supaya segera membuat laporan bagi mengelakkan isu ini membarah.
Gesaan ini dilakukan sendiri oleh Presiden PFAM, Izham Ismail yang mengakui pihaknya sedar ada beberapa isu tunggakan gaji mula berlaku melibatkan beberapa pasukan Liga Super.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media di Majlis Menandatangani MOU antara PFAM dan Pusat Perubatan Ara Damansara yang akan membolehkan pemain bola sepak professional mendapatkan rawatan kecederaan sukan yang betul dan selamat melalui kaedah rehabilitasi.
“Kita mengharapkan agar mana-mana pemain atau pihak yang terbabit dapat tampil kepada kami di PFAM dan buat laporan secara rasmi untuk kami berikan bantuan. Kami maklum dengan khabar ada beberapa pasukan yang mempunyai tunggakan gaji dan kami berharap mereka yang terbabit tampil membuat laporan segera sebelum isu ini membarah,” katanya.
Sementara itu, isu tunggakan gaji yang melibatkan pasukan Melaka United juga masih diperjuangkan PFAM dan pendirian mereka tetap tidak berubah meskipun ada desas-desus yang mengatakan kelab itu kini bakal memiliki pemilik yang baharu.
“Buat masa ini pihak kami tidak akan berganjak dengan tindakan sedia ada yang kami lakukan. Semalam juga telah berlaku satu perbicaraan di peringkat NDRC dan keputusan akan diberikan dalam masa terdekat dan sekiranya masih tidak ada ruang atau jalan penyelesaian kita akan bawa ke mahkamah untuk tindakan seterusnya.
“Untuk pemilikan yang baharu kami mendoakan yang terbaik kerana ianya tentu akan membantu pemain tetapi sehingga ianya berlaku kami akan tetap berjuang untuk pemain dengan proses yang sedia ada dan berharap ada usaha yang ikhlas dari pihak yang ingin membantu,” tambahnya lagi.
Izham juga gembira dengan kerjasama yang dijalankan bersama Pusat Perubatan Ara Damansara untuk memberikan khidmat dan sokongan perubatan kepada pemain bola sepak professional dan membantu perkembangan perubatan sukan di negara ini.
“Kami mengharapkan ini akan menjadi titik tolak bola sepak Malaysia untuk memberikan penekanan kepada sains sukan terutamanya dalam perubatan sukan kerana kita sedia maklum sebelum ini ramai pemain mengalami kecederaan tidak diberikan rawatan yang baik,” jelasnya lagi.
Rawatan rehabilitasi ini terbuka kepada semua pemain yang bernaung di bawah PFAM dan juga pasukan bola sepak Wanita Kebangsaan dan MOU ini adalah permulaan kerjasama antara PFAM dan Pusat Perubatan Ara Damansara.