KETUA Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail menghargai segala usaha yang telah dilakukan oleh pihak peguam mereka untuk memastikan hak pemain dapat dibela.

Dalam sesi sidang media di Shah Alam pada Selasa, peguam bela yang mewakili 47 pegawai dan pemain pasukan Kuantan FA dan Marcerra United, Suhail Rahimi Abdul Razak mengesahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan arahan kepada bekas pemilik kelab bergelar Datuk Seri itu menyelesaikan jumlah baki RM1.5 yang dipersetujui daripada jumlah keseluruhan RM3 juta pada 29 Januari bulan lalu.

“Ini juga menjadi satu penanda aras kepada semua pasukan bola sepak di Malaysia untuk mengambil isu gaji, kebajikan pemain dengan lebih serius.

“Ia telah menjadi satu bukti bahawa sekiranya pasukan ataupun pemilik pasukan masih culas untuk membayar gaji pemain ataupun membela nasib pemain, tindakan sebegini boleh dikenakan kepada pengurusan dan juga persatuan.

“Kami mengharapkan agar usaha yang telah dijalankan oleh pemain, saya tidak lupakan. Kami juga tidak akan lupakan jasa dan juga budi perjuangan Allahyarham jurulatih Ismail Zakaria yang daripada hari pertama bersama dengan pemain untuk memastikan hak mereka dapat dibela.

“Ini merupakan hari yang sangat penting dalam sejarah bola sepak Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri itu dipenjarakan selepas didakwa dengan sengaja ingkar perintah mahkamah untuk membayar tunggakan gaji berjumlah lebih RM6 juta membabitkan 47 individu terdiri daripada bekas pemain dan pegawai pasukan Kuantan FA dan Marcerra United

Beliau menjadi individu pertama dalam sejarah Liga Malaysia (Liga M) ‘dihumban’ ke penjara selepas gagal melunaskan baki tunggakan kepada bekas pemain pasukan itu sekali gus dikenakan hukuman selama tujuh hari di Penjara Sungai Buloh.

Walau bagaimana pun, Datuk Seri itu boleh dilepaskan dari hukuman penjara sekiranya dia berjaya melakukan bayaran penuh.