SKUAD berbasikal lebuhraya, menarik nafas lega apabila berjaya meraih satu emas di Kejohanan Lumba Basikal Lebuhraya Asia (ACC 2023) menerusi Phi Kun Pan pada Isnin.
Pelumba cilik itu meraih pingat emas dalam acara lepas beramai-ramai bawah 23 tahun (B-23) wanita dengan mengetepi cabaran pelumba Uzbekistan, Yanina Kuskova dan Dewika Mulya Sova dari Indonesia, sekali gus menamatkan kemarau pingat emas di kejohanan yang berlangsung di Rayong, Thailand itu.
Pelumba Kedah itu merakam masa 2 jam 51 minit, 41 saat dengan purata kelajuan 38.79 kilomer sejam, menamatkan kemarau pingat yang kali terakhir dimenangi skuad B-23 negara pada 2012, apabila Adiq Hussainie Othman memenangi perak pada kejohanan yang berlangsung di Putrajaya.
Menurut Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Norazman Abu Samah, prestasi dipamerkan Kun Pan itu menunjukkan pembangunan skuad lebihraya wanita berada di landasan yang betul.
Menurutnya, Kun Pan dan seorang lagi pelumba, Nur Fitrah Shaari hampir terlepas aksi di ACC 2023 di Rayong itu.
“Mereka datang ke Rayong menggunakan wang sendiri dan penyertaan hanya disahkan pada saat akhir,” kata Norazman yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutuif Persekutuan Berbasikal Asean.
Dalam pada itu, seorang lagi pelumba Malaysia, Zhen Yi yang ditaja Majlis Sukan Negara (MSN) menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10, manakala Nur Fitrah di tangga ke-18.