PEMAIN tengah Manchester City, Phil Foden, memenangi Anugerah Pemain Terbaik Persatuan Bolasepak Profesional (PFA) selepas membantu kelabnya meraih gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) kali keempat berturut-turut.
Pemain berusia 24 tahun itu menjaringkan 27 gol dalam 53 penampilan di semua pertandingan musim lalu ketika City bimbingan Pep Guardiola turut memenang Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab serta menjadi naib juara Piala FA.
“Memenangi anugerah ini adalah sesuatu yang sangat istimewa dan saya sangat berbangga serta bersyukur,” kata Foden.
“Diiktiraf dengan cara ini oleh rakan-rakan sepermainan amat bermakna dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengundi saya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih khas kepada Pep, jurulatih City dan semua rakan sepasukan saya kerana membantu saya menjadi lebih baik setiap hari.”
Foden mengalahkan pesaing dari rakan sepasukannya, Erling Haaland, yang memenangi anugerah tahun lalu, dan Rodri, serta Cole Palmer dari Chelsea, Martin Odegaard dari Arsenal dan Ollie Watkins dari Aston Villa.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada (rakan sepasukan) Kyle (Walker), Rodrigo dan Erling kerana terpilih dalam Pasukan Terbaik PFA, amat menyeronokkan melihat kualiti luar biasa mereka diiktiraf dengan cara ini,” tambahnya.
Sayap Chelsea, Palmer, 22, dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik selepas menjaringkan 22 gol dalam 34 penampilan Liga Perdana Inggeris pada musim pertamanya bersama kelab London tersebut selepas meninggalkan City.