NAMA pemain Terengganu FC (TFC), Alif Zakaria, mungkin kurang dikenali sebelum ini namun bek kiri berusia 24 tahun itu sudah menjadi antara tonggak utama Sang Penyu musim ini.
Alif mempamerkan aksi konsisten di posisi berkenaan dan telah memikat hati ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain untuk beraksi dalam 11 daripada 13 perlawanan terakhir bersama TFC.
Menurut Alif, bukan mudah untuk kekal konsisten terutama turut dicabar pemain lebih berpengalaman, Arif Fadzillah Abu Bakar dan pemain muda negara, Hairiey Hakim Mamat untuk posisi bek kiri.
“Saya lebih banyak bermain di posisi bek kanan bersama TFC II dalam Liga Premier sebelum ini dan apabila diberi peluang dalam Liga Super, saya terus beri yang terbaik.
“Agak sukar bagi pemain berkaki kanan seperti saya beraksi di posisi bek kiri. Namun semua itu dijadikan cabaran untuk saya meningkatkan kemampuan dan terus berada dalam kesebelasan utama.
“Jadi saya harap dapat terus diberi kepercayaan bertemu Melaka United, Sabtu ini dan membantu TFC meraih tiga mata,” katanya ketika ditemui Flash Sukan pada Rabu.
Alif yang menjadikan legenda Jerman, Phillip Lahm sebagai idola membuat aksi pertama ketika TFC bertemu Negeri Sembilan 29 Jun lalu dan turut beraksi cemerlang dalam kempen Piala FA.