KUALA Lumpur (KL) City FC berhasil mengetepikan cabaran pasukan dari Filipina, Kaya IloIlo pada perlawanan Kejuaraan Kelab Asean (ACC) 2024 sekali gus memberi keputusan 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KL) Cheras.
Hasil daripada aksi bertenaga yang dipamerkan itu juga telah melegakan Ketua jurulatihnya, Miroslav Kuljanac apabila misi untuk menghentikan badi kekalahan berturut di kempen Liga Super berjaya dilaksanakan, dan meraih motivasi baharu setelah menang dengan pasukan utama Liga Filipina tersebut.
Muhammad Haqimi Azim selaku tonggak muda The City Boys memulakan langkah terbaik bagi meletakkan pasukannya di depan. Sepakan dalam kotak penalti seawal minit ke-12 olehnya membuatkan pemain Kaya IloIlo resah untuk memburu jaringan pertama mereka.
KL City yang tampak lebih dahagakan gol terus melakukan asakan demi asakan ke arah gawang pasukan Kaya IloIlo namun akhirnya gagal kerana berjaya diselamatkan oleh penjaga gol mereka.
Babak kedua perlawanan yang bermula kelihatan pasukan pelawat mempamerkan corak yang lebih garang berbanding separuh masa pertama.
Namun malangnya, tiada sebarang jaringan yang dapat direkodkan oleh pasukan Kaya IloIlo di gelanggang bola sepak Cheras akibat cubaan gol yang dilakukan tidak berjaya melepasi Muhammad Azri Ghani, penjaga gol KL City.
Keputusan 1-0 menyaksikan skuad Ibu Kota meraih 3 mata pertama pada aksi pembukaan sekaligus memberi motivasi tambahan sebelum turun menentang skuad Borneo Samarinda pada 26 September kelak.