HASRAT Terengganu FC untuk memulakan kempen Asean Club Championship Shopee Cup 2024-25 dengan nota kemenangan tidak menjadi kenyataan apabila tewas 2-3 kepada wakil Kemboja, Svay Rieng FC dalam aksi pembukaan Kumpulan A.
Dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, Terengganu yang dibarisi pemain-pemain terbaik dikejutkan dengan dua gol dari Gabi dan Pablo untuk Svay Rieng mendahului 2-0 seawal 16 minit pertama permainan.
Meskipun mengawal perlawanan, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner gagal mencari gol pembukaan dan dihukum dengan dua serangan pantas lawan yang memerangkap barisan pertahanan Terengganu yang dibentuk dengan empat pemain tempatan.
Tomislav melakukan beberapa pertukaran pada babak kedua dan Terengganu berhasil mendapatkan gol pertama menerusi Manuel Ott yang bijak merembat masuk bola hantaran Ubaidullah Shamsul dari sebelah kiri.
Gol itu nyata menaikkan semangat pemain-pemain Terengganu yang tidak berhenti melakukan serangan demi serangan ke kubu lawan untuk mencari gol penyamaan namun kekal buntu.
Ketika Terengganu sibuk mencari gol, kealpaan bahagian belakang sekali lagi dihukum Svey Rieng yang menjaringkan gol ketiga menerusi Min Ratanak yang menggamamkan penyokong di stadium.
Safawi Rasid cuba menghidupkan sisa-sisa perjuangan Terengganu apabila menyempurnakan penalti pada tambahan masa dan video bantuan pengadil menafikan penalti kedua Terengganu selepas itu sekaligus menberikan lawan membawa pulang tiga mata dari Kuala Terengganu.
Dua lagi perlawanan Kumpulan A menyaksikan wakil Vietnam, Thanh Hoa menewaskan kelab Myanmar, Shan United 3-1 manakala wakil Indonesia, PSM Makassar berjaya mengikat BG Pathum dari Thailand dengan keputusan 0-0 di Balikpapan.
Selesai perlawanan pertama, Terengganu menduduki tangga kelima dari enam pasukan dan kini berdepan tugas sukar apabila dijadualkan bertemu Thanh Hoa pada 25 September untuk perlawanan kedua.