KETUA jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner tidak bimbang tentang masa depannya di kelab itu dan bersedia untuk meninggalkan Terengganu sekiranya pihak pengurusan bercadang khidmatnya tidak lagi diperlukan kelab.

Ini selepas Terengganu sekali lagi mempamerkan aksi mengecewakan apabila tewas 2-3 kepada kelab Kemboja, Svay Rieng FC dalam aksi pembukaan Kumpulan A, Asean Club Championship Shopee Cup 2024-25 pada Rabu.

Pengendali asal Croatia itu jelas kecewa dengan aksi yang ditunjukkan anak-anak buahnya dengan mengakui kesilapan yang dilakukan menyebabkan mereka dihukum dan kini berdepan laluan cukup sukar dalam kejohanan ini.

“Sebagai jurulatih, saya sudah lakukan yang terbaik dan pihak pengurusan boleh memanggil saya pada bila-bila masa untuk berbincang mengenai perkara ini. Mana-mana jurulatih dalam dunia sememangnya bersedia untuk pergi dan beg saya sentiasa bersedia.

“Semestinya kecewa gagal dapat tiga mata kerana seperti saya katakan ianya akan jadi perlawanan yang sukar kerana saya tahu lawan adalah pasukan yang bagus. Kita tewas kerana kesilapan pada babak pertama serta menunjukkan kami sangat tidak baik dan hilang keyakinan.

“Babak kedua, saya boleh katakan berpuas hati apabila kita beri lebih tekanan dan jaringkan dua gol tetapi sekali lagi kesilapan kita menyebabkan mereka jaringkan gol ketiga dan ianya sukar sekarang tetapi inilah bola sepak.

“Apabila kita dibolosi tiga kali dan lawan mempunyai beberapa peluang terbaik untuk jaringkan gol itu bermakna kita tidak bermain dengan baik. Kita gagal sekat pemain nombor 8 (Pablo) dan sebab itu saya lakukan pertukaran kerana pemain sudah hilang keyakinan selepas melakukan kesilapan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Tomislav turut mengakui kemasukan pemain serangan baharu, Nelson Bonilla dijangka dapat membantu pasukan pada perlawanan selepas ini namun dia perlu menilai terlebih dahulu keadaan pemain dengan dia mempunyai tempoh yang panjang ekoran cuti rehat antarabangsa.

“Saya akan lihat kesesuaian pemain dan akan tentukan siapa akan bermain pada perlawanan akan datang kerana kita mempunyai tempoh masa hampir sebulan sebelum perlawanan itu dan kehadiran penyerang baharu diharap dapat membantu pasukan selepas ini,” jelasnya.

Terengganu tewas kepada jaringan Gabi, Pablo dan Min Ratanak sebelum Manuel Ott dan Safawi Rasid cuba mengecilkan jurang gol dan kekalahan ini meletakkan Terengganu di tangga kelima dari enam pasukan dalam Kumpulan A sebelum perlawanan kedua berlangsung pada 25 September 2024.