KEDAH Darul Aman (KDA) FC perlu memanfaatkan perlawanan kedua Piala AFC 2022 untuk memburu tiga mata penting ketika bertemu wakil Filipina, Kaya FC di Gianyar pada Isnin.

Ramai penyokong setia mereka meluahkan kekecewaan di sosial media termasuk kritikan sinis dan tajam terhadap pemain dan jurulatih selepas bermula langkah sumbang kalah kepada tuan rumah, Bali United.

Tidak dinafikan kedudukan Sang Kenari dalam kempen kali ini dalam bahaya jika Bali terus meraih kemenangan kedua dan layak sebagai juara kumpulan.

Ini kerana, juara kumpulan dan satu naib juara terbaik antara tiga kumpulan Zon ASEAN akan ke peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, selagi perlawanan belum berakhir, selagi itulah peluang tetap ada pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak melakukan kebangkitan dalam dua baki perlawanan berdepan Kaya dan kelab Visakha pada 30 Jun.

Penulis boleh nampak sendiri wajah keceriaan di seluruh pemain Sang Kenari termasuk Ngah Wanja semasa sesi latihan petang tadi di Stadium Gelo A Samudra, Desa Adat Kuta, Bali.

Manakala bekas tonggak kebangsaan Thailand, Sanrawat Dechmitr ketika di sapa Flash Sukan menunjukkan isyarat tanda bagus seolah-olah tidak sabar kembali ke gelanggang permainan bagi membantu pasukan.

Semangat kerjasama dan gigih berlatih dengan setiap arahan Aidil serta dibantu oleh Victor Andrag memberi bayangan petanda KDA FC mampu meraih keputusan positif.

“Kami tiada pilihan lain lagi (bangkit dan mencatatkan kemenangan).

“Kami sudah tentu akan memperkukuhkan barisan tengah dan pertahanan. Yang penting, kami jangan lagi ulangi kesilapan lalu. Pasukan harus bangkit melawan balik,” ujar pengendali asal Singapura ini.

Setakat ini, Serdadu Tridatu muncul pendahulu semasa Kumpulan G diikuti Visakha FC yang berkongsi tiga mata selepas menumpaskan Kaya FC.

Selepas aksi dengan Kaya Iloilo Isnin ini, anak didik Aidil akan menutup tirai kumpulan bertemu Visakha Khamis ini.

Jadual Perlawanan
Isnin, 24 Jun 2022

Bali United lwn Visakha, 5 petang
KDA FC lwn Kaya FC, 9 malam