PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak menggesa semua pemain mempunyai mentaliti untuk menang ketika berdepan Visakha FC saingan terakhir Piala AFC 2022 di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali pada Khamis.
Menurutnya, sesiapa sahaja yang bakal diturunkan pada perlawanan itu harus bekerja keras dan komitmen sepanjang 90 minit.
“Saya akan lihat apa yang terbaik untuk pasukan Kedah. Paling penting semua pemain bersedia mentaliti untuk menang.
“Mereka yang diturunkan harus beri yang terbaik kerana bola sepak perlukan kerja keras bagi mendapatkan kemenangan selesa,” kata jurulatih asal Singapura semasa sidang media perlawanan di Bali, Indonesia sebentar tadi.
Sang Kenari ketika ini memperoleh tiga mata selepas beraksi dua kali dan berada di kedudukan kedua Kumpulan G.
Jika berjaya meraih mata penuh, KDA FC berpeluang mara ke separuh akhir Zon Asia Tenggara sekurang-kurangnya sebagai runner-up terbaik manakala Kaya FC sudah tersingkir daripada persaingan.
Jelas Aidil, mereka bermotivasi tinggi apabila melihat persaingan masih terbuka sama rata setiap pasukan bertanding kali ini.
“Kita untuk turun mentaliti untuk kemenangan esok. Saya tak tahu apa fikiran Visakha kerana mereka sudah catat dua kemenangan dan esok mereka akan bermain keadaan yang selesa.
“Paling mustahak, kami wajib dapatkan tiga mata,” ujarnya masih berahsia kesebelasan utama KDA FC.
Sementara itu, pemain sayap kiri yang dilahirkan di Baling, Fayadh Zulkifli akui rakan sepasukan telah bersedia dari segi mental, fizikal dan berazam menyajikan persembahan mantap.
“Kami tahu kedua-dua pasukan nak menang. Apapun, kami lawan dahulu atas padang,” katanya menggegar dua gol semasa membelasah Kaya FC pada Isnin.
Perlawanan terakhir kumpulan Khamis ini akan menentukan empat slot ke peringkat seterusnya!
Jadual Perlawanan
Khamis, 30 Jun 2022
Bali United lwn Kaya FC, 5 petang
KDA FC lwn Visakha FC, 9 malam