PENGENDALI Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak nyata gembira dengan persembahan yang ditampilkan barisannya dalam kempen peringkat kumpulan Piala AFC kali ini yang menyaksikan KL City berjaya layak ke peringkat separuh akhir zon Asean.
Bojan sudah menjangkakan perlawanan yang sengit dan kini akan mempersiapkan pasukan terutama mempertajamkan penyudah bagi menghadapi peringkat seterusnya yang dijangka lebih sukar.
Dia juga mengakui mana-mana pemain baharu yang boleh bermain buat KL City akan memberikan kekuatan tambahan buat pasukannya sekaligus memberikan masalah yang baik buat pasukan.
“Perlawanan tadi adalah seperti yang dijangkakan. Kami tahu kami mampu untuk mencipta peluang tetapi seperti perlawanan sebelum ini, kami mempunyai masalah dalam penyudahan tetapi secara keseluruhannya saya gembira dengan kedua-dua perlawanan.
“Apa yang penting adalah kami layak ke peringkat seterusnya. Ianya akan menjadi lebih sukar kerana tidak ada pasukan yang lemah di peringkat ini dan siapa pun pemain yang boleh bermain buat KL City untuk pusingan kalah mati nanti sangat baik dan menjadikan kami lebih kuat,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Sementara itu rakan sejawatnya di Tampines Rovers, Gavin Lee pula berkata banyak perkara yang perlu diperbaiki oleh pasukannya namun gembira dengan pendedahan yang diterima oleh para pemain muda ‘The Stags’.
“Kami bermain lebih baik pada babak kedua. Kami sedikit berebut-rebut terutama dalam membuat keputusan dan KL City berjaya menyerap tekanan. Kami perlu perbaiki dalam pengurusan permainan kami.
“Saya optimis dengan kehadiran ramai pemain muda dalam skuad ini dan berharap pengalaman ini dapat membantu mereka di masa hadapan menerusi peluang yang diberikan oleh kelab untuk mereka lebih berkembang dan agar mereka dapat belajar sesuatu dari kejohanan ini,” kata Gavin dalam sidang media.
Kuala Lumpur City FC berjaya layak ke separuh akhir zon Asean sebagai pasukan tempat kedua terbaik selepas menewaskan Tampines manakala wakil Singapura itu pulang hampa tanpa sebarang mata.