Foto: KL City FC

PENYERANG Kuala Lumpur City FC, Safee Sali mahu pasukannya menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mencatat kemenangan dalam peringkat Kumpulan H Piala AFC 2022.

Safee yang pernah menjulang kejuaraan Piala AFC pada 2015 bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) pastinya akan menggunakan pengalaman yang ada pada dirinya untuk membimbing rakan sepasukan yang kebanyakkannya beraksi kali pertama di pentas kelab Asia.

Selain itu, dia juga mahukan aksi yang terbaik dari seluruh pasukannya untuk layak ke peringkat separuh akhir zon yang dijadualkan pada 9 dan 10 Ogos nanti.

Skuad juara Piala Malaysia 2021 ini juga kini sudah bersedia dari segi persiapan untuk bersaing dalam Piala AFC sekaligus dapat membantu menambahkan lagi mata Members Association (MA) bagi Malaysia.

“Persiapan pasukan sangat baik untuk Piala AFC. Para pemain berada pada tahap terbaik dan ramai yang sudah tidak sabar mahu beraksi kerana ini adalah kali pertama mereka beraksi di Piala AFC ini.

“Kami juga ingin mengambil peluang sebagai tuan rumah dengan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras adalah kubu kuat buat pasukan. Kesempatan ini akan kami gunakan untuk layak ke peringkat seterusnya,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.

Kuala Lumpur City akan berhadapan cabaran wakil Indonesia, PSM Makassar Jumaat ini sebelum dijadualkan bertemu wakil Singapura, Tampines Rovers pada 30 Jun untuk aksi kumpulan Piala AFC.