PENGENDALI Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak mengakui bukan tugas mudah buat anak-anak buahnya apabila turun menentang Tampines Rovers pada aksi kedua Piala AFC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis.
Kuala Lumpur yang memerlukan margin tiga gol untuk layak ke peringkat seterusnya sebagai juara kumpulan perlu bermain secara menyerang dari awal permainan dan perlu memastikan penyerang mereka mampu menjaringkan gol.
Bojan juga turut mengakui bahawa KL City mempunyai sedikit kelebihan beraksi di padang rumput namun dia hanya fokus kepada persembahan pasukannya pada Khamis.
“Ianya akan menjadi satu perlawanan yang sukar. Kami perlu menang dengan kelebihan tiga gol. Ianya bukan perkara mudah kerana Tampines adalah pasukan yang berpengalaman dan sering beraksi dalam Piala AFC. Kelebihan nyata tidak memihak kami tetapi juga kami akan lakukan habis-habisan untuk perlawanan esok.
“Kami mendominasi perlawanan ketika menentang PSM Makassar tetapi tidak berjaya menjaringkan gol. Makassar kini lebih berpeluang kerana mereka menjaringkan tiga gol namun kami masih percaya untuk mencapai kemenangan. Sasaran utama kami adalah menang meskipun sukar.
“Tampines adalah pasukan yang baik namun mereka tetap mempunyai beberapa titik kelamahan dan kami akan menggunakan kelemahan ini sebagai kelebihan buat kami.
“Padang di stadium ini juga memberikan kelebihan buat kami kerana Tampines sudah biasa dengan padang tiruan ketika beraksi di Singapura,” jelasnya ketika sidang media pra perlawanan pada Rabu.
Perkara yang sama turut dikongsi penyerang import, Romel Morales yang mahu memastikan dirinya ataupun rakan sepasukan mampu menjaringkan seberapa banyak gol untuk membantu KL City layak ke peringkat seterusnya.
“Kami perlu lebih serius kerana tidak ada perlawanan yang mudah dalam Piala AFC ini. Kami mendominasi pada perlawanan sebelum ini namun gagal menjaringkan gol dan kini kami perlu menjaringkan seberapa banyak gol untuk layak.
“Saya akan mengambil tanggungjawab sebagai penyerang untuk perlawanan esok dan akan memberikan aksi yang lebih baik kerana jika mahu layak kami perlu menjaringkan banyak gol. Kami perlu memulakan perlawanan dengan lebih aggresif berbanding sebelum ini,” katanya.
Bojan turut menambah bahawa Safee Sali dan Nik Umar tidak dapat diturunkan kerana kecederaan manakala Partiban masih dalam keadaan 50-50 dan hanya akan diketahui nasibnya selepas sesi latihan hari ini.
Kuala Lumpur City perlu menewaskan Tampines Rovers dengan kelebihan tiga gol untuk layak ke peringkat seterusnya sebagai juara Kumpulan H sekaligus mengenepikan PSM Makassar yang kini mempunyai kelebihan dari sudut jaringan.