PEMAIN tengah PSM Makassar, Rasyid Bakri hanya mahukan rakan sepasukan menunjukkan aksi cemerlang ketika turun menentang Kuala Lumpur City FC dalam aksi pembukaan Kumpulan H, Zon ASEAN Piala AFC 2022.
Dia yang bermain untuk PSM Makassar sejak dari akademi ini juga mahu menghadiahkan kemenangan kepada Kota Makassar dan juga Indonesia dan tidak gusar tentang cabaran yang bakal diberikan oleh Kuala Lumpur City FC.
Rasyid juga mengakui senang untuk berjumpa mantan jurulatih PSM Makassar, Bojan Hodak tetapi mengakui para pemain meletakkan sepenuh perhatian untuk perlawanan esok.
Pemain berusia 31 tahun itu juga beranggapan bahawa skuad PSM Makassar tahun ini lebih kuat berbanding tahun-tahun sebelumnya meskipun banyak dibarisi muka-muka baharu.
“Para pemain sudah bersedia untuk pertemuan esok dan kami akan berikan permainan yang maksimum. Kami akan memberikan segala-galanya untuk Kota Makassar dan juga kepada Indonesia dan kami tidak gentar akan kelebihan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah.
“Persiapan kami berjalan lancar dan kami sudah menjalani proses pemulihan yang cukup. Kami datang dari jauh untuk nendapatkan keputusan yang baik dari perlawanan ini.
“Memang kami pernah dilatih Bojan. Secara peribadi, saya gembira bertemu dia tetapi untuk masa sekarang kami menjadi lawan di pertandingan Piala AFC ini. Para pemain yang pernah bermain dengan Bojan juga mahu melakukan sesuatu yang terbaik buat PSM Makassar.
“Saya rasakan pasukan PSM Makassar tahun ini lebih kuat dari tahun sebelumnya meskipun banyak dibarisi pemain muda. Ini kerana pemain yang dibawa masuk adalah mereka yang terbaik dari akademi dan kami tidak mempunyai masalah untuk mencipta keserasian,” ujarnya ketika sidang media pra perlawanan.
PSM Makassar hanya bermain tiga perlawanan kompetitif sebelum hadir ke Kuala Lumpur untuk memulakan cabaran Piala AFC 2022 dan perlawanan esok dianggap sebagai medan terbaik buat menguji kekuatan pasukan yang terkenal dengan gelaran Ayam Jantan Dari Timur ini.