KETUA Jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak mengakui pasukannya tidak bermain baik pada babak pertama dan kekurangan komunikasi antara pemain menjadi penyebab utama mereka tewas dalam separuh akhir zon Asean di Bali pada Selasa.
Namun begitu, Aidil turut memuji barisan pemain mudanya yang menjadikan kejohanan serantau ini sebagai medan untuk mereka meraih pengalaman berharga selepas berjaya layak ke separuh akhir meskipun bukan diletakkan sebagai pasukan pilihan.
“Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada PSM Makassar kerana memenangi perlawanan ini. Kedah adalah pasukan yang baru dalam kejohanan ini dan para pemain masih belajar. Kami sedar ianya satu perlawanan yang sukar namun mereka sudah memberikan segala-galanya.
⚔ FULL TIME ⚔
FT | PSM Makassar 2 – 1 KDA FC
⚽ 31' Y SAYURI (PSM MAKASSAR)
⚽ 54' Y FERNANDES (PSM MAKASSAR)
⚽ 86' FAYADH (KDA FC)#KDAFC #PulunKedahPulun #SangKenari #BiarJasaJadiKenangan #2022season #afccup2022 #aseanzone #semifinal pic.twitter.com/RVBul7smjU— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) August 9, 2022
“Kami tidak bermain dengan baik pada babak pertama. Kekurangan komunikasi menjadi punca utama kami dibolosi namun bertambah baik pada babak kedua. Lebih sukar apabila menentang lawan yang bermain 10 pemain kerana mereka akan lebih bertahan.
“Tiada rezeki untuk kami malam ini dan kami akan mengambil kekalahan ini secara positif kerana ianya adalah satu pelajaran yang sangat baik. Tidak ada siapa pun yang memberi harapan kepada kami namun berjaya layak ke separuh akhir.
“Saya bangga dengan pemain dan tidak boleh meminta lebih dari mereka dengan apa yang telah dilakukan dalam kejohanan ini,” kata Aidil.
Nada yang sama turut dikongsi penyerang, Fayadh Zulkifli yang mengatakan mereka sudah melakukan yang terbaik tetapi takdir telah menentukan kemenangan tidak berpihak kepada Kedah walaupun sudah memberikan yang terbaik.
Aidil yang ditemui dalam sidang media selepas perlawanan juga berharap agar anak-anak buahnya bangkit dan menggunakan pengalaman dalam kejohanan Piala AFC ini untuk beraksi lebih baik dalam Liga Super.