PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak percaya anak buahnya dapat mengalahkan wakil Filipina, Kaya FC saingan Piala AFC 2022 di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali pada Isnin.
Seperti diketahui, pada perlawanan pertama, kedua-dua pasukan sama-sama tewas. KDA FC kalah 2-0 di tangan rumah Bali United manakala Kaya FC tewas tipis 2-1 dengan Visakha FC.
Jurulatih asal Singapura ini memberitahu Kaya FC adalah pasukan berpengalaman dan pernah bermain di Liga Juara-Juara Asia (ACL) namun optimis para pemain boleh mengalahkan lawan menjelang pertemuan yang berlangsung sebelah malam.
“Misi kami adalah mengutip tiga mata penuh, apatah lagi selepas kalah dalam perlawanan pembukaan.
“Pemain akan berjuang habis-habisan dan harap dapat bagi yang terbaik pada perlawanan kedua.
“Sudah pasti akan ada beberapa perubahan taktikal dan perlukan kemasukan pemain baru dan segar selepas pemain bertungkus lumus 90 minit pada aksi lepas,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Bali, Indonesia sebentar tadi.
Tambah Aidil, Kaya FC yang diperkuatkan Jovin Bedic, Daizo Horikoshi dan Robert Lopez Mendy pastinya memberi ancaman kepada mereka dalam usaha memungut tiga mata penting.
Esok, Sang Kenari akan mengharungi satu lagi perjalanan jarak jauh yang mengambil masa sejam lebih ke stadium di Gianyar dari pusat penginapan pemain di Kuta.
Sementara itu, penjaga gawang Shahril Saa’ri berazam mencatat clean sheet andai diturunkan untuk memastikan Kedah berjaya mendapatkan mata penuh yang diperlukan.
“InshaAllah. Saya bersedia menjaga pintu gol dan persiapan kami sudah cukup untuk hadapi kejohanan ini.
“Saya yakin dengan semua pemain yang akan diturunkan dan kita wajib menang dalam baki dua perlawanan untuk mara ke peringkat seterusnya,” ujarnya yang miliki satu cap di pusingan kelayakan ACL pada tahun 2020.
Setakat ini, Serdadu Tridatu muncul pendahulu semasa Kumpulan G diikuti Visakha yang berkongsi tiga mata selepas menumpaskan Kaya FC.
Selepas aksi dengan Kaya FC, anak didik Aidil akan menutup tirai kumpulan bertemu Visakha, Khamis ini.
Jadual Perlawanan
Isnin, 24 Jun 2022
Bali United lwn Visakha FC, 5 petang
KDA FC lwn Kaya FC, 9 malam