PENYOKONG setia Kuala Lumpur City FC yang hadir di Bandaraya Ho Chi Minh bagi menyaksikan aksi separuh akhir zon Asean mendapat perkhabaran gembira apabila pengurusan KL City menaja tiket masuk dan pengangkutan pergi balik ke stadium.

Ini adalah sebagai tanda penghargaan buat para penyokong yang sanggup hadir untuk memberikan sokongan kepada KL City FC apabila turun menentang wakil Vietnam, Viettel FC malam ini.

Pengurusan KL City FC juga berharap tanda penghargaan ini dapat meringankan beban kos yang ditanggung penyokong selain memberikan pengalaman manis buat para penyokong yang hadir di Bandaraya Ho Chi Minh untuk dikenang untuk sebagai sebahagian daripada sejarah.

“Pelbagai cabaran dihadapi penyokong untuk menghadiri perlawanan separuh akhir ini termasuk kewangan, logistik dan masa.

“Kami mengharapkan agar inisiatif ini dapat memberikan keselesaan kepada penyokong dan menikmati pengalaman berharga ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard menerusi kenyataan media yang diedarkan.